TPM Singapura letak jawatan sebagai ketua pasukan 4G PAP
Bernama
April 8, 2021 07:07 MYT
April 8, 2021 07:07 MYT
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat memutuskan untuk mengundur diri sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai timbalan perdana menteri, namun keputusannya secara efektif bermaksud beliau tidak akan menjadi perdana menteri yang seterusnya di republik itu.
Menerusi suratnya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang disiarkan dalam laman web rasmi perdana menteri, Heng berkata keputusan itu diambil "selepas pertimbangan dan perbincangan teliti dengan keluarganya".
"Saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua pasukan 4G, agar pemimpin lebih muda yang mempunyai masa lebih panjang dapat mengambil alih peranan itu.
"Pasukan 4G akan memilih individu itu, dan saya bersedia menyokong pemimpin seterusnya," kata Heng yang kini berusia 60 tahun.
Beliau berkata Singapura memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja akan membangunkan semula Singapura pasca-COVID, tetapi juga memimpin fasa seterusnya dalam usaha membangunkan negara.
"Tahun ini, usia saya 60 tahun. Oleh kerana krisis ini (COVID-19) akan berpanjangan, usia saya akan mencecah hampir pertengahan 60-an apabila krisis ini berakhir.
Umur 60-an merupakan tempoh kehidupan yang sangat produktif.
"Tetapi, apabila saya melihat usia tiga perdana menteri pertama semasa mula menyandang jawatan itu, saya akan mempunyai masa persiapan yang singkat sekiranya saya menjadi perdana menteri nanti," katanya.
Heng berkata perdana menteri yang akan datang perlu mempunyai masa yang lebih panjang - untuk menguasai permintaan dalam memimpin negara; membentuk dan melihat strategi jangka panjang untuk negara; dan memenangi keyakinan dan sokongan rakyat Singapura untuk membina masa hadapan bersama.
Ahli Parlimen GRC Pantai Timur itu adalah penolong setiausaha agung pertama PAP.
Sementara itu, dalam surat balasannya yang turut disiarkan dalam laman web itu, Lee berkata beliau memahami dan menghormati keputusan Heng.
Perdana Menteri berkata beliau gembira apabila Heng bersetuju untuk kekal dalam Kabinet sebagai timbalannya dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.
Lee berkata Heng akan melepaskan portfolio kewangan dalam rombakan Kabinet berikutnya.
"Anda telah melakukan tugas yang luar biasa sebagai Menteri Kewangan, khususnya pada tahun lepas dalam keadaan mencabar akibat pandemik COVID-19," kata Lee.
-- BERNAMA
#Heng Swee Keat
#4G
#Parti Tindakan Rakyat
#PAP
#Lee Hsien Loong
#TPM
#pandemik
#COVID-19
#GRC Pantai Timur