BEIJING: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan misi bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.

Timbalan Perdana Menteri yang mengadakan kunjungan berkenaan di Rui An Hotel, Kementerian Keselamatan Awam China itu disambut Xiaohong sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan mesyuarat hampir sejam.

Turut bersama beliau dalam kunjungan hormat itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk Mohd Tarid Sufian dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee.

Xiaohong dalam ucapan sempena kunjungan itu berkata, China meletakkan tahap kepentingan dan persefahaman yang tinggi sebagai asas kukuh bagi memperkasa hubungan dan persahabatan kedua-dua negara.

Xiaohong berkata, China juga menyokong konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperhebat pelbagai pertukaran bagi membolehkan kedua-dua negara menuju masa hadapan bersama berteraskan persefahaman dan saling membantu.

Dalam pada itu, Xiaohong memaklumkan, Ahmad Zahid bukanlah tokoh asing di kalangan pemimpin China , terutamanya antara rakan seperjuangan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui teruja untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Xiaohong selepas mendapat undangan bagi tujuan berkenaan.

"Saya sangat teruja untuk berjumpa anda, bertemu sahabat dan rakan lama, terima kasih atas layanan mesra yang diberikan," katanya.