Tower Bridge London tersekat hampir 12 jam, alami gangguan teknikal
Agensi
Ogos 10, 2021 20:04 MYT
Ogos 10, 2021 20:04 MYT
JAMBATAN ikonik di London, Tower Bridge dibuka semula kepada trafik selepas tersekat kira-kira 12 jam akibat gangguan teknikal.
Portal BBC melaporkan, jambatan itu dijadualkan dibuka pada Isnin bagi memberi laluan kepada kapal besar untuk melintasinya namun tersekat secara tiba-tiba.
Polis di ibu kota Britain tersebut mengatakan mercu tanda berusia 127 tahun itu ditutup "kerana kegagalan teknikal" dan dibuka semula kepada lalu lintas pada Selasa, jam 1.45 pagi (waktu tempatan).
Disebabkan gangguan tersebut, pemandu dan pejalan kaki diberikan amaran agar tidak berada berhampiran kawasan itu dan mengelak daripada melaluinya.
Menurut laporan portal berkenaan, laluan di jambatan tersebut tersekat kira-kira jam 2.30 petang (waktu tempatan) pada Isnin.
Transport for London (TfL) melaporkan bahawa lalu lintas bergerak perlahan di kedua-dua belah sungai pada sebelah petangnya.
Jambatan itu, yang memakan masa lapan tahun untuk dibina dan dibuka pada tahun 1894 biasanya dibuka sekitar 800 kali setiap tahun.
Sebelum ini ia pernah tersekat pada bulan Ogos tahun lalu apabila berlaku kerosakan mekanikal yang berlaku - membuatkannya terbuka lebih daripada satu jam.
Jurucakap City of London Corporation yang menguruskan jambatan itu berkata, siasatan mengenai kegagalan itu sedang dilakukan tetapi puncanya masih belum diketahui.
#London
#jambatan
#jambatan angkat
#London Tower Bridge
#tersekat
#bbc
#sesak
#siasatan
#Tower Bridge