Tonggak arak buatan sendiri, angka korban melonjak 100 nyawa

Agensi
April 14, 2018 19:16 MYT
Cukai arak yang tinggi di negara itu memaksa golongan berpendapatan rendah mendapatkan arak murah atau yang dibuat sendiri bagi melepaskan gian.- Foto Reuters
Polis Republik Indonesia pada Jumaat memusnahkan ribuan botol arak buatan sendiri dalam usaha mengekang kejadian hampir 100 maut akibat meminum arak itu dari berulang dan angka itu dijangka terus meningkat.
Pihak berkuasa di daerah Tengerang di pinggir ibu kota Jakarta, menggunakan jentera penggelek memusnahkan lebih enam ribu botol yang diletakkan di atas karpet.
Mereka turut melancarkan serbuan di kedai-kedai yang masih menjual arak terbabit.
Cukai arak yang tinggi di negara itu memaksa golongan berpendapatan rendah mendapatkan arak murah atau yang dibuat sendiri bagi melepaskan gian.
BACA: Lebih 50 maut tonggak arak buatan sendiri
Sehingga semalam, 97 disahkan maut sejak Mac lalu dan dikaitkan dengan arak haram.
160 yang lain dilaporkan sedang dirawat di hospital dan ramai daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Kata polis, sekurang-kurangnya 17 orang telah ditahan kerana disyaki menjual dan mengedarkan arak buatan sendiri.
Salah seorang yang ditahan juga telah meninggal dunia.
Arak berkenaan dikatakan mengandungi pelbagai bahan beracun termasuk bahan kimia yang digunakan dalam semburan penghalau nyamuk.
Kejadian turut memaksa bandar Bandung dan kawasan sekitarnya mengisytiharkan situasi darurat pada Selasa.
Pada 2016, 36 maut di Jawa Tengah kerana meminum arak buatan sendiri.
#alkohol #arak #cukai #haram #Indonesia #Jakarta #maut #meninggal dunia #polis
;