Tomyan Kung Thailand tersenarai dalam Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO

Bernama
Disember 4, 2024 23:30 MYT
Tomyam Kung merupakan sup masam pedas yang mengandungi herba tempatan seperti lengkuas, serai, dan daun limau purut, lazimnya dihidangkan bersama udang dan cendawan. - Gambar hiasan
BANGKOK: Hidangan terkenal Thailand, Tomyam Kung kini tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengumuman itu dibuat pada Selasa semasa sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara yang diadakan di Asuncion, Paraguay.
Tomyam Kung merupakan sup masam pedas yang mengandungi herba tempatan seperti lengkuas, serai, dan daun limau purut, lazimnya dihidangkan bersama udang dan cendawan.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian penting dalam meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya tidak ketara serta peranannya sebagai pemacu dan menjamin pembangunan mampan.
Beliau menekankan bahawa Tomyam Kung adalah hidangan sihat yang berasal daripada kebijaksanaan dan amalan kulinari masyarakat tepi sungai di kawasan tengah Thailand, yang diwarisi dari generasi ke generasi.
"Tomyam Kung kini menjadi contoh dan bukti penting warisan budaya yang membentuk 'soft power' Thailand," katanya dalam mesej video yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Diraja Thailand pada Rabu.
Pengiktirafan ini menyoroti khazanah budaya lain Thailand dalam senarai itu, termasuk tarian topeng Khon, urutan tradisional Thai, drama tari Nora dari selatan Thailand dan perayaan Songkran yang meriah.
Paetongtarn turut menekankan bahawa pengetahuan dan amalan dalam penyediaan Tomyam Kung bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan makanan, kesihatan dan kesejahteraan, tetapi juga mempromosikan pembangunan ekonomi inklusif, kelestarian alam sekitar dan perpaduan sosial.
"Thailand komited sepenuhnya untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) di peringkat tempatan, nasional, dan antarabangsa," kata beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan kesediaan Thailand untuk bekerjasama dengan negara lain dalam melindungi ICH sebagai sumber pembangunan inklusif dan mampan, dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama: ekonomi, masyarakat, dan alam sekitar.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada badan penilai, jawatankuasa, dan sekretariat UNESCO atas dedikasi dan usaha mereka dalam memberikan pengiktirafan berprestij ini.
-- BERNAMA
#Tomyan Kung #Unesco #alam sekitar #peringkat tempatan
;