'Tolonglah duduk di rumah' - PM Thai rayu rakyat bantu atasi peningkatan kes COVID-19

Agensi
Januari 4, 2021 16:20 MYT
Prayuth berkata, kerajaan sangat memandang serius soal impak ekonomi apabila sekatan yang lebih ketat dilakukan. - Gambar fail
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha pada Isnin merayu rakyat supaya duduk di rumah untuk mengekang penularan jangkitan virus COVID-19 yang kembali melanda negara itu.
Reuters melaporkan, rayuan tersebut adalah usaha paling penting supaya Negara Gajah Putih itu tidak perlu menjalani perintah kawalan pergerakan yang ketat, atau perintah berkurung.
Terbaru, pihak berkuasa kesihatan Thailand mengesahkan rekod harian terbaru iaitu sejumlah 745 kes.
Buat masa ini, pihak kerajaan telah mengisytiharkan 28 wilayah termasuk Bangkok sebagai zon berisiko tinggi selain meminta rakyat supaya bekerja dari rumah dan menghindari acara keramaian dan merentas sempadan daerah masing-masing.
Prayuth berkata, kerajaan sangat memandang serius soal impak ekonomi apabila sekatan yang lebih ketat dilakukan.
"Kami tidak mahu menyekat pergerakan di seluruh negara kerana kami tahu masalahnya, maka tolonglah duduk di rumah sendiri.
"Semua ini bergantung kepada anda semua. Kalau tidak mahu dijangkiti, duduklah rumah selama 14 atau 15 hari. Jika anda lakukan ini, semuanya lebih selamat dan lebih mudah untuk pengesanan," ujarnya kepada media.
Thailand merekodkan satu lagi kematian pada Isnin. Daripada 745 kes jangkitan baharu yang dilaporkan, 541 kes adalah yang dicatatkan pihak berkuasa daerah.
Negara itu merekodkan sejumlah 8,439 kes COVID-19 dan 65 kematian, antara yang terendah di Asia.
Kebanyakannya ada kaitan dengan pekerja asing yang bermula di wilayah Samut Sakhon.
Pihak berkuasa Bangkok mengarahkan restoran dan penjaja jalanan supaya tidak menyediakan ruang untuk pelanggan menikmati makanan di premis antara jam 7 petang hingga 6 pagi, untuk mengurangkan kemungkinan sebaran virus. Bagaimanapun, khidmat penghantaran makanan dibenarkan.
Jualan alkohol di restoran juga telah dilarang sementara pusat hiburan serta bar ditutup di daerah-daerah beririko tinggi. Gabenor-gabenor juga diberi kuasa untuk menjalankan langkah kawalan sendiri.
Sekolah dan pusat pendidikan di negara itu ditutup selama sebulan.
#Perdana Menteri Thailand #PM thailand #Prayuth Chan-ocha #COVID-19 #pandemik #kesihatan
;