Tolak tawaran lebih RM20,000 daripada lelaki terkaya dunia
Sinar Harian
Februari 1, 2022 08:45 MYT
Februari 1, 2022 08:45 MYT
WASHINGTON DC: Jutawan paling kaya di dunia, Elon Musk gagal untuk memujuk seorang remaja, Jack Sweeney memadamkan satu program di sebuah laman sosial yang boleh mengesan pergerakan jet peribadinya baru-baru ini.
Sweeney yang berusia 19 tahun dari Florida turut menolak tawaran sebanyak AS$5,000 (RM20,927) daripadanya untuk memadamkan akaun Twitternya itu.
Musk mempunyai lebih dari 150,000 pengikut dan mereka menggunakan satu program di akaun Twitternya dikenali sebagai bot untuk memantau penerbangan Musk.
Pelajar baharu kolej itu juga telah mengembangkan kira-kira sedozen akaun program tersebut bagi mengesan penerbangan jutawan dan pakar teknologi lain termasuk Bill Gates dan Jeff Bezos.
Pertukaran mesej antara mereka berdua berlaku pada 19 Januari lalu.
Sweeney berkata, dia menjadi peminat syarikat penerbangan angkasa lepas SpaceX yang diasaskan oleh Musk dan mempunyai anggaran kekayaan lebih AS$240 bilion (RM1.004 trilion).
Bapanya bekerja untuk sebuah syarikat penerbangan sekali gus menyemarakkan minatnya dalam bidang penerbangan.
Menurut Sweeney, bayaran itu dianggapnya tidak mencukupi buat dirinya.
Remaja itu turut menawarkan Musk beberapa nasihat teknikal dan memberitahu jutawan tersebut tentang program yang boleh menyekat penerbangannya itu daripada dapat dikesan.
Sweeney turut dilaporkan berkata, Musk kemudian menerima nasihatnya dan menggunakan program tersebut.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.