Tokyo siap sedia hadapi Taufan Ampil
Bernama
Ogos 15, 2024 06:30 MYT
Ogos 15, 2024 06:30 MYT
TOKYO: Tokyo dan kawasan timur Jepun siap sedia pada Khamis menghadapi Taufan Ampil, dengan penerbangan dan perkhidmatan kereta api laju dibatalkan untuk hari berikutnya, lapor Agensi Berita Kyodo.
Central Japan Railway Co. memutuskan untuk membatalkan semua perkhidmatan kereta api laju Tokaido Shinkansen antara Tokyo dan Nagoya sepanjang hari pada Jumaat.
East Japan Railway Co. turut memutuskan untuk membatalkan sejumlah 20 kereta api laju di bahagian laluan shinkansen Tohoku, Joetsu dan Yamagata bermula dari 11 pagi hingga sepanjang hari pada Jumaat.
Pada Khamis, stesen kereta api dan lapangan terbang sudah sesak dengan pengembara yang mengubah jadual perjalanan mereka sehari lebih awal selepas mengetahui tentang pembatalan penerbangan dan perkhidmatan kereta api yang dirancang.
Pada masa sama, Japan Airlines Co. dan All Nippon Airways Co. mengumumkan pembatalan ratusan penerbangan ke dan dari lapangan terbang Haneda dan Narita di Tokyo pada Jumaat.
Walaupun risiko taufan kuat mendarat pada masa ini rendah, ia dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ketika menghampiri timur dan timur laut Jepun pada Jumaat dan Sabtu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Ribut itu mempunyai tekanan atmosfera 960 hektopascal di pusatnya, dengan angin mencecah kelajuan sehingga 198 kilometer sejam.
Setakat 6 petang Khamis, taufan itu dikesan kira-kira 260 km di selatan-tenggara Pulau Hachijo, bergerak ke arah utara pada kelajuan kira-kira 20 km sejam.
Dalam tempoh 24 jam dari 6 petang Khamis, taufan itu dijangka membawa hujan sehingga 300 milimeter ke kawasan Kanto-Koshin, termasuk Tokyo, 200 mm ke kawasan Tokai, dan 120 mm ke kawasan Tohoku.
Dari 6 petang Jumaat, 150 mm hujan dijangka turun di kawasan Kanto-Koshin dan 200 mm di kawasan Tohoku. - BERNAMA