Tokyo: Lelaki cederakan 3 penumpang kereta api dipenjara 19 tahun
Bernama
Julai 14, 2023 23:54 MYT
Julai 14, 2023 23:54 MYT
TOKYO: Sebuah mahkamah di Tokyo pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun kerana menikam tiga penumpang kereta api dengan menggunakan pisau pada Ogos 2021, lapor Xinhua.
Mahkamah Daerah Tokyo dalam keputusannya berkata Yusuke Tsushima, yang mengaku salah terhadap tuduhan cubaan membunuh itu telah "menyerang penumpang secara rambang satu demi satu dengan niat membunuh."
Pendakwa raya memohon hukuman penjara 20 tahun ke atas defendan, manakala pasukan pembelanya meminta diringankan 15 tahun, dengan hujah niat tertuduh untuk membunuh tidak cukup kuat.
Dalam kenyataan terakhir pada perbicaraan, Tsushima akur dengan cadangan pendakwaan untuk hukuman 20 tahun dan memohon maaf.
Mengikut pertuduhan, Tsushima mengakibatkan kecederaan parah seorang pelajar universiti berusia 20 tahun dengan menikamnya beberapa kali di dada dan belakang serta mencederakan seorang wanita berusia 50-an dan seorang lelaki berusia 30-an di dalam kereta api Odakyu Electric Railway pada 6 Ogos 2021.
-- BERNAMA