Tokyo kesal Beijing batalkan mesyuarat dua hala menteri luar

Bernama
Ogos 5, 2022 18:01 MYT
MATSUNO: "Ketika keadaan sedang tegang, pertukaran pendapat adalah lebih penting." - AP
TOKYO: Jepun kesal dengan keputusan China membatalkan rundingan dua hala yang sepatutnya diadakan sempena mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN di Kemboja, kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno pada Jumaat.
"Mesyuarat Menteri Luar Jepun dan China di luar mesyuarat ASEAN sudah ditetapkan, tetapi semalam pihak China mengumumkan membatalkannya berikutan kenyataan yang dikeluarkan negara G7 (mengenai Taiwan).
"Keputusan China itu amat dikesali. Ketika keadaan sedang tegang, pertukaran pendapat adalah lebih penting. Negara kita sentiasa terbuka untuk dialog dengan China," kata Matsuno pada satu taklimat, lapor Sputnik.
Pada Rabu, negara-negara G7 mengeluarkan kenyataan bersama, yang menyeru China supaya tidak menjadikan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi sebagai alasan untuk aktiviti ketenteraan yang agresif di Selat Taiwan.
G7 percaya bahawa lawatan itu adalah "biasa dan rutin" dan tidak merubah dasar setiap ahli kumpulan itu terhadap China.
Pelosi tiba di Taiwan pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan delegasi Kongres ke wilayah Indo-Pasifik, mengetepikan amaran peribadi pentadbiran Presiden Joe Biden tentang risiko lawatan itu yang boleh mencetuskan tindak balas China.
Beijing dilaporkan melancarkan latihan ketenteraan berskla besar di enam zon perairan dan ruang udara berhampiran Taiwan.
-- BERNAMA
#Jepun #China #ASEAN #Nancy Pelosi
;