Tokoh pejuang gugur syahid di tangan Zionis

Sinar Harian
Ogos 5, 2024 05:20 MYT
1. Sayyed Razi Mousavi 2. Saleh al-Arouri 3. Wissam al-Tawil 4. Ismail al-Zin 5. Mohammad Hadi Haji Rahimi 6. Mohammad Reza Zahedi 7. Ali Ahmad Hussein 8. Fuad Shukr 9. Ismail Haniyeh.
SEJAK Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya sembilan pemimpin dan komander sayap ketenteraan gugur syahid dalam serangan dilancarkan rejim Zionis di tiga negara.
Ketika gerakan Paksi Penentangan anti-Israel mengutuk pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh pada minggu lalu, rejim Zionis terus mencurah minyak ke dalam api apabila ia mendakwa telah membunuh ketua sayap tentera Hamas, Mohammed Deif selepas timbalannya, Marwan Issa dibunuh pada Mac lalu.
Hamas bagaimanapun tidak mengesahkan tentang dakwaan itu.
Berikut adalah sembilan tokoh yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis sejak lebih 10 bulan lalu.
1. Sayyed Razi Mousavi (23 Disember 2023)
Serangan udara di luar ibu kota Damsyik telah meragut nyawa penasihat kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC). Beliau bertanggungjawab menyelaraskan pakatan ketenteraan antara Syria dan Iran, bahagian penting rangkaian sekutu serantau dan proksi Iran dikenali sebagai Paksi Penentangan yang kini bangkit secara aktif menentang Israel.
2. Saleh al-Arouri (2 Januari 2024)
Timbalan Ketua Biro Politik Hamas dan salah seorang pengasas sayap ketenteraan, Briged Qassam terkorban dalam serangan dron di Dahiyeh, selatan Beirut yang merupakan kubu kuat pejuang Hizbullah pada awal tahun lalu. Serangan ke atas pejabat Hamas itu meragut enam nyawa. Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan ganjaran berjumlah AS$5 juta (RM22.5 juta) untuk sebarang maklumat tentang beliau.
3. Wissam al-Tawil (8 Januari 2024)
Hizbullah mengesahkan salah seorang komander mereka gugur syahid buat pertama kali selepas pertempuran rentas sempadan tercetus selama tiga bulan. Timbalan ketua unit elit Radwan, Wissam al-Tawil yang turut dikenali sebagai Jawad terkorban dalam serangan udara di selatan Lubnan.
4. Ismail al-Zin (31 Mac 2024)
Jet pejuang Israel menyasarkan kenderaan dinaiki komander Hizbullah, Ismail al-Zin di Kounine, selatan Beirut. Beliau dianggap sebagai 'sumber pengetahuan penting' mengenai peluru berpandu antikereta kebal dan bertanggungjawab melancarkan siri serangan ke atas musuh.
5. Mohammad Hadi Haji Rahimi (2 April 2024)
Beliau gugur syahid dalam serangan udara dilancarkan rejim Zionis ke atas Konsulat Iran di Damsyik pada April lalu yang telah meningkatkan ketegangan antara Iran-Israel. Beliau merupakan Timbalan Komander Pasukan Quds IRGC.
6. Mohammad Reza Zahedi (2 April 2024)
Brigadier Jeneral, Mohammad Reza Zahedi juga terkorban bersama enam anggota IRGC lain dalam serangan dilancarkan Israel ke atas Konsulat Iran di ibu kota Syria. Beliau menyertai Pasukan Quds yang merupakan cabang elit IRGC dan dilantik sebagai komander yang mengetuai operasi di Syria dan Lubnan.
7. Ali Ahmad Hussein (8 April 2024)
Serangan udara dilancarkan rejim Zionis telah meragut nyawa pemimpin Hizbullah, Ali Ahmed Hussein di Sultaniyeh di selatan Lubnan. Beliau merupakan komander unit elit Radwan dan musuh mendakwa beliau melancarkan siri serangan ke atas Tel Aviv.
8. Fuad Shukr (30 Julai 2024)
Komander Hizbullah ini gugur syahid dalam serangan udara di Beirut. Beliau merupakan salah seorang anggota veteran Hizbullah dan pengasas sayap ketenteraan gerakan yang disokong Iran itu. Shukr merupakan penasihat rapat Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dan bertanggungjawab mendapatkan bekalan senjata canggih termasuk misil cruise dan roket jarak jauh buat gerakan itu.
9. Ismail Haniyeh (31 Julai 2024)
Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran pada minggu lalu telah mencetuskan kemarahan gerakan Paksi Penentangan anti-Israel yang berikrar mahu menuntut bela atas kematiannya. Sehingga kini, Israel tidak membuat sebarang pengesahan tentang penglibatan mereka dalam insiden itu yang dikhuatiri mencetuskan perang lebih meluas di Asia Barat. - Sinar Harian
#kekejaman israel #pejuang Islam #syahid #Ismail Haniyeh