Todak serang, benteng batang pisang... Koronavirus melanda, S$4 bilion rangsang ekonomi Singapura

Razak Chik
Februari 18, 2020 22:05 MYT
Diserang koronavirus, Singapura berbelanja S$4 bilion untuk rangsang ekonomi. - Gambar fail
LEGENDa ada mencatat cerita dongeng Temasek yang terselamat dari serangan todak hasil kepintaran Hang Nadim menanam deretan batang pisang.
Zaman beredar, kini ancaman virus korona – Singapura tetap bersedia, hanya kali ini, kosnya dana S$4 bilion (RM11.93 bilion).
Hampir dua bulan wabak COVID-19 tersebar dari China, Singapura antara ekonomi terbuka yang agak teruk menerima kesan penularan.
Timbalan Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej rangsangan berjumlah S$4 bilion dalam ucapan bajet 2020 yang dibentang di Parlimen pada Selasa.
Satu pakej yang diberi nama Tindakan Sokongan dan Penstabilan (Stabilisation and Support Package) diwujudkan bertujuan mengelak kehilangan pekerjaan, sementara membantu syarikat korporat terus beroperasi.
Sektor yang teruk terkesan dan menerima tumpuan termasuk pelancongan, penerbangan, peruncitan dan industri makanan.
Bagi mengelak pembuangan pekerja oleh syarikat yang teruk terjejas, kerajaan membantu meringan beban kos gaji kepada majikan melalui dua langkah sokongan.
Pertama, satu skim sokongan pekerjaan (Jobs Support Scheme) bernilai S$1.3 bilion diwujudkan. Dana ini dijangka membantu syarikat terus beroperasi pada kadar penggajian sedia ada melibatkan 1.9 juta warga Singapura dan pemastautin tetap.
Majikan akan menerima geran tunai pada kadar 8 peratus gaji bersih pekerja, tertakluk kepada kadar tertinggi S$3,600 setiap pekerja.
Kedua, Skim Kredit Gaji (Wage Credit Scheme) akan dikemas kini dari S$4,000 kepada S$5,000 melalui suntikan kerajaan bernilai S$1.1 bilion.
Bagi tujuan membantu perniagaan yang menghadapi kekangan aliran tunai, rebat cukai pada kadar 25 peratus – dihadkan pada kadar S$15,000 – diberi kepada semua syarikat pembayar cukai. Skim ini akan menyebabkan kerajaan kehilangan S$400 juta hasil pendapatan.
Bagi industri perhotelan, kerajaan memberi kelonggaran penakrifan susut nilai atas perbelanjaan melibatkan pembelian peralatan dan kerja-kerja penambahbaikan. Industri terlibat, terutama di bidang perhotelan disaran agar mengguna peluang yang wujud akibat permintaan yang berkurangan pada masa ini untuk mejalankan kerja kerja penambah-baikan.
Kerajaan juga akan memberi kelonggaran kepada penyewa premis perniagaan di bangunan awam dengan tawaran pembayaran yang mengambil-kira kemampuan semasa.
Bagi hampir 330,000 pekerja tempatan yang terjejas akibat penguncupan ekonomi semasa, skim latihan semula akan dilanjutkan dari tiga ke enam bulan yang melibatkan sejumlah dana sumbangan kerajaan.
Rangsangan untuk sektor pelancongan, rebat cukai pada kadar 30 peratus diberi keatas komponen bilik hotel dan apartmen serta pusat konvensyen utama. Terminal pelayaran antarabangsa dan terminal feri serantau bakal menerima rebat cukai pada kadar 15 peratus manakala resort bersepadu layak rebat sebanyak 10 peratus.
Syarikat di bidang pelancongan layak meminjam dari dana program pinjaman sementara (bridging loan) sehingga S$1 juta pada kadar bunga serendah 5 peratus bermula Mac untuk jangka masa setahun.
Bagi sektor penerbangan pula, Lapangan Terbang Changi menerima rebat cukai sebanyak 15 peratus tidak termasuk rebat untuk bayaran mendarat dan sewa ruang apron, pengendalian dan operasi agen kargo.
Syarikat dalam industri runcit dan makanan yang menyewa premis dari Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (National Environment Agency) diberi pelepasan sewa sebulan.
Agensi kerajaan seperti Badan Pembangunan Perumahan (HDB) akan memberi pelepasan sewa setengah bulan kepada penyewa.
Memandangkan tiada tanda penularan COVID-19 akan reda dalam masa terdekat, Bajet 2020 juga menyediakan peruntukan tambahan sebanyak S$800 juta – sebahagian besar untuk perbelanjaan Kementerian Kesihatan – guna mempertingkat usaha mengekang penularan.
#Bajet 2020 Singapura #COVID-19 #Heng Swee Keat #koronavirus #Singapura
;