Tinjauan pendapat ramal kemenangan besar parti pemerintah India

Bernama
Jun 2, 2024 12:15 MYT
Tinjauan memberikan Perikatan Demokratik Nasional yang diketuai BJP mendahului di lebih 350 kerusi Lok Sabha (dewan rendah parlimen) daripada sejumlah 543 kerusi dipertandingkan. - Foto Reuters
NEW DELHI: Kebanyakan tinjauan pendapat pada Sabtu meramalkan penggal ketiga untuk Perdana Menteri Narendra Modi dan partinya, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada pilihan raya umum India. Bagaimanapun pihak pembangkang menolak tinjauan pengundi itu sebagai manipulasi dan tidak boleh dipercayai.
Tinjauan berkenaan memberikan Perikatan Demokratik Nasional (NDA) yang diketuai BJP mendahului di lebih 350 kerusi Lok Sabha (dewan rendah parlimen) daripada sejumlah 543 kerusi yang dipertandingkan.
Tinjauan NDTV-Jan Ki Baat meramalkan 362-392 kerusi untuk NDA dan 141-161 lagi untuk blok pembangkang, "Indian National Developmental Inclusive Alliance" atau lebih dikenali sebagai INDIA.
Tinjauan India Today-Axis My India memberikan 361-401 kerusi kepada NDA dan 131-166 kepada blok INDIA, manakala tinjauan Republic TV-PMARQ menunjukkan pakatan pemerintah menang 359 kerusi dan blok pembangkang mendapat 154.
Tinjauan oleh Dainik Bhaskar memberikan kumpulan yang diketuai BJP 281-350 kerusi berbanding 145-201 untuk pakatan yang diketuai oleh Rahul Gandhi dari Parti Kongres India (Kongres).
Bagaimanapun, tinjauan oleh Agni News Services memberikan majoriti 264 kerusi kepada blok pembangkang dan 242 kerusi kepada BJP dan sekutunya, menurut laporan di laman sesawang Oneindia.com.
Mengulas mengenai tinjauan pendapat itu, pemimpin kanan BJP Shivraj Singh Chouhan berkata partinya akan memenangi 370 kerusi dan bersama sekutunya jumlah itu akan melebihi 400.
Bekas ketua menteri Gujarat Vijay Rupani berkata beliau yakin Modi akan menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.
Pada pilihan raya umum 2019, NDA memenangi 353 kerusi dengan BJP sahaja meraih 303 kerusi.
Pengiraan undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya akan berlangsung pada Selasa dan keputusan rasmi akan diumumkan pada hari yang sama.
Tinjauan pendapat di India bagaimanapun boleh menjadi sebaliknya dengan ramalan yang tidak tepat berlaku dalam beberapa pilihan raya dewan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun tinjauan meramalkan kemenangan selesa untuk BJP dalam pilihan raya 2004, Kongres dan parti gabungannya muncul sebagai pemenang.
Jurucakap Kongres Jairam Ramesh menerusi hantaran di media sosial menolak keputusan tinjauan pendapat sebagai manipulasi dan "permainan psikologi" sambil meramalkan bahawa pakatan INDIA akan menang sekurang-kurangnya 295 kerusi, "yang merupakan majoriti jelas dan tegas."
-- BERNAMA
#pilihan raya india #Narendra Modi #Parti Bharatiya Janata #BJP #kemenangan
;