'Tinggalkan saya, jika saya tidak lagi di landasan yang betul' - Prabowo

Agensi
September 24, 2024 14:52 MYT
Prabowo mahu ahli-ahli parti Gerindra memberikan komitmen kepada rakyat yang telah memilih mereka - Foto fail/ REUTERS
JAKARTA: Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan jika beliau tidak lagi berada di landasan yang betul dalam membela rakyat, ahli-ahli Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dialu-alukan untuk meninggalkannya.

Ringkasan AI
  • Prabowo Subianto menegaskan bahawa ahli Parti Gerindra boleh meninggalkannya jika beliau tidak lagi memperjuangkan kebenaran dan kepentingan rakyat.
  • Beliau mengingatkan wakil yang dipilih ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk kekal setia dan berbakti kepada rakyat serta bangsa Indonesia.
  • Prabowo berpegang kepada sumpahnya untuk membela rakyat miskin dan menjaga kehormatan bangsa, serta bersedia mati demi kebenaran.

"Saya minta saudara-saudara jangan setia kepada saya sebagai individu. Selama saya memperjuangkan yang benar, saya minta saudara menyokong saya.
"Begitu kau mencium (menghidu) saya berada di jalan yang tidak benar, silakan tinggalkan saya," katanya memetik laporan Kompas.com hari ini.
Prabowo dan calon gandingannya, Gibran Rakabuming Raka memenangi pilihan raya Indonesia dengan 58 peratus undi, menurut pengiraan kebangsaan yang diumumkan pada 20 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Prabowo yang mengetuai parti itu dalam satu taklimat yang diadakan di Bogor, Jawa Barat semalam juga menekankan agar ahli-ahli parti memberikan komitmen kepada rakyat yang telah memilih mereka.
Beliau mengingatkan wakil parti yang berjaya dipilih sebagai ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi tempoh 2024 hingga 2029 agar sentiasa menjaga kesetiaan kepada rakyat dan bangsa.
"Ingat, berbakti dan bekerja untuk rakyat kita. Kita berada di jalan yang benar, kita tegak lurus, kesetiaan kita kepada rakyat, kepada bangsa kita,” tambah Prabowo.
Kata Prabowo lagi, sehingga saat ini beliau tetap berpegang kepada sumpahnya untuk membela rakyat terutama golongan miskin, selain menjaga kehormatan bangsa Indonesia.
"Sumpah saya, saya ingin mati di atas kebenaran.
"Saya ingin mati membela rakyat saya... saya ingin mati membela orang miskin. Saya ingin mati membela kehormatan bangsa Indonesia. Saya tidak ragu-ragu,” katanya dipetik portal itu.
#Prabowo Subianto #Presiden Indonesia #Gerindra #bangsa Indonesia #terkini
;