Tinggal lebih masa di Thailand akibat koronavirus tidak akan didenda
Agensi
Januari 27, 2020 18:26 MYT
Januari 27, 2020 18:26 MYT
Pelancong asing yang berdepan masalah dengan tempoh percutian di Thailand akibat penularan koronavirus tidak akan didenda jika mereka tinggal lebih masa, jamin Biro Imigresen negara itu pada Isnin.
Jurucakap biro, Choengron Rimphadi berkata, pelancong yang terperangkap dalam masalah berpunca daripada epidemik itu dan terlibat dalam tindakan menanganinya, tidak perlu membayar denda yang lazim dikenakan.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, yang menjadi pintu masuk utama kemasukan pelancong ke Negara Gajah Putih itu, pasukan di pusat operasi akan membantu pelancong berkaitan hal virus tersebut.
China telah menutup bandar Wuhan dan beberapa lagi bandar di wilayah Hubei dalam usaha mengekang penularan virus itu. Penerbangan masuk dan keluar ke bandar itu juga telah dibatalkan.
Sementara itu, Beijing mengisytiharkan cuti Tahun Baharu Cina disambung dari 30 Januari hingga 2 Februari untuk mengurangkan perjalanan manusia seterusnya menghentikan penularan koronavirus.
Choengron berkata, para penumpang yang terjejas dengan virus itu telah menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk membuat tuntutan semula, atau mengubah jadual percutian, dan untuk tinggal lebih lama di Thailand.
Ada juga yang mahu membuat perubahan penerbangan balik dengan memilih lapangan terbang lain yang terdekat dengan Wuhan.
Setakat ini, 81 kes kematian telah disahkan sejak penularan wabak itu di China, sementara ribuan lagi telah dijangkiti.