Tindakan tutup Masjid Al-Aqsa satu "perisytiharan perang", kata Mahmoud Abbas

Agensi
Oktober 30, 2014 19:10 MYT
Tindakan tutup Masjid Al-Aqsa satu "perisytharan perang", kata Mahmoud Abbas
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyelar tindakan rejim Israel menutup kawasan Masjid Al-Aqsa sebagai satu "perisytiharan perang".
Penutupan Masjid Al-Aqsa itu diumumkan oleh Menteri Keselamatan Awam Israel, Yitzhak Aharonovich. Ia ditutup sehingga satu notis lanjut.
Tindakan Israel itu dibuat selepas seorang aktivis Yahudi, Yehuda Glick yang memperjuangkan akses lebih luas penganut Yahudi ke tapak suci itu cedera ditembak pada Rabu oleh seorang lelaki bermotosikal yang kemudian melarikan diri.
Suspek serangan itu, seorang warga Palestin, kemudian ditembak mati oleh polis Israel.
Ini adalah kali pertama rejim Zionis menutup sepenuhnya kawasan masjid suci itu sejak tahun 1967. Ia sebelum ini hanya membenarkan umat Islam yang berumur lebih 60 tahun untuk memasuki masjid berkenaan.
"Tindakan Israel ini satu perisytiharan perang ke atas rakyat Palestin dan tempat-tempat sucinya serta ke atas bangsa Arab dan negara Islam," kata jurucakap Mahmoud, Nabil Abu Rudeina memetik kenyataan beliau.
Masjid Al-Aqsa jadi titik panas sejak beberapa minggu lalu selepas polis membenarkan kumpulan haluan kanan Israel dan kumpulan Yahudi Ortodoks memasuki kawasan itu untuk merayakan satu upcara keagamaan Yahudi.
Kawasan Masjid Al-Aqsa turut menempatkan tempat ibadat penganut Yahudi.
Masjid Al-Aqsa adalah masjid suci ketiga bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Ia pernah jadi kiblat bagi umat Islam sebelum turun perintah daripada Allah supaya kiblat itu dipindahkan ke Kaa'bah di Mekah.
Masjid Al-Aqsa juga dicatatkan sebagai tempat Nabi Muhammad diangkat ke langit semasa peristiwa Isra' Mikraj.
Status masjid itu menjadi antara isu yang tidak selesai dalam usaha damai Palestin-Israel sejak lebih lima dekad lalu.
#Israel #Mahmoud Abbas #Masjid Al-Aqsa
;