Tindakan nelayan Thailand bantu dua pelancong dapat pujian netizen
Kohilah Sekaran
Oktober 24, 2015 19:42 MYT
Oktober 24, 2015 19:42 MYT
Sebuah rakaman video yang menunjukkan keprihatinan seorang lelaki membantu dua pelancong asing daripada kawasan pantai berlumpur mula viral di media sosial sejak Jumaat mula menarik perhatian netizen.
Video tersebut dimuat naik di laman Facebook oleh seorang pengguna media sosial, Theerasak Saksritawee dengan kapsyen "Impressions di Krabi pagi ini, 'kemurahan hati rakyat Krabi' . "
Memetik laporan BBC News, lelaki yang bertanggungjawab menyelamatkan pasangan pelancong itu dikenali sebagai Chat Ubonjinda. Ketika kejadian, Ubonjinda dipetik sebagai berkata pasangan itu dalam perjalanan pulang dari aktiviti memancing berhampiran Krabi, sebuah pulau peranginan popular yang terletak di selatan negara Gajah Putih itu.
Dalam rakaman video tersebut, Ubonjinda dilihat cuba untuk menarik kedua-dua pelancong tersebut dari kawasan berlumpur itu namun gagal kerana lapisan lumpur yang terlalu tebal.
Lelaki itu kemudian sanggup berbaring atas lumpur tersebut hanya untuk menolong mereka keluar dari lumpur tersebut.
Setakat ini, video itu telah menerima lebih dari 2.8 juta tontonan, 164 ribu ‘likes’ serta beribu-ribu komen pujian daripada netizen.
Memetik temuramahnya dengan portal berita Bangkok Post, beliau tidak mahir berbahasa Inggeris namun dia sedar bahawa kedua-dua warga asing itu memerlukan bantuan serta-merta.
"Saya tidak mahu apa-apa sebagai balasan. Saya melihat pasangan itu dalam kesusahan dan perkara pertama terlintas dalam fikiran saya ialah untuk menghulurkan bantuan," kata Ubonjinda.
Pengguna media sosial memuji sikap perikemanusian nelayan tersebut yang sanggup menggadai nyawa sendiri untuk menyelamatkan dua pelancong itu.