Tindakan mahkamah Indonesia jatuhi hukuman mati secara maya dikritik
Astro Awani
April 23, 2021 13:24 MYT
April 23, 2021 13:24 MYT
JAKARTA: Tindakan mahkamah Indonesia menjatuhi hukuman mati terhadap beberapa banduan melalui aplikasi video menerima kritikan hebat, khususnya daripada pendukung hak asasi manusia.
Penggunaan aplikasi video seperti Zoom, menurut pengkritik, adalah satu penghinaan dan tidak berperikemanusiaan bagi mereka yang berdepan maut di hadapan pasukan penembak, lapor AFP.
Indonesia terkenal dengan undang-undang antidadah paling tegas di dunia di mana hukuman mati dikenakan tidak kira sama ada dilakukan warganya atau warga asing.
Bulan ini, 13 anggota sindiket pemerdagangan manusia -- termasuk tiga warga Iran dan satu warga Pakistan -- dimaklumkan melalui video bahawa mereka akan menjalani hukuman mati kerana menyeludup 400kg metamfetamin ke Indonesia.
Pada Rabu, mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman mati secara maya ke atas enam militan atas peranan mereka dalam rusuhan penjara pada tahun 2018 yang menyebabkan lima anggota skuad pengganas Indonesia terkorban.
"Perbicaraan maya menafikan hak defendan yang berdepan hukuman mati.
"Ini soal hidup dan mati seseorang," kata pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.
"Hukuman mati selalu itu sendiri merupakan hukuman yang kejam. Tetapi trend hukuman secara maya ini menambah ketidakadilan dan tidak berperikemanusiaan," tambahnya.
Indonesia melaksanakan perbicaraan secara maya susulan penularan COVID-19 yang mengganggu banyak prosiding jenayah.
Perbicaraan maya, menurut pengkritik, membuatkan defendan tidak dapat mengambil bahagian sepenuhnya apabila terganggu ekoran sambungan internet yang teruk.
"Platform maya ... boleh mendedahkan tertuduh terhadap pelanggaran hak perbicaraan yang adil dan menjejaskan kualiti pembelaan," kata NGO Harm Reduction International dalam laporan baru-baru ini mengenai hukuman mati ke atas kesalahan dadah.
Kalangan peguam juga mengeluh tidak dapat berhubung dengan klien mereka oleh kerana sekatan akibat COVID-19.
Malah keluarga tertuduh juga ada kalanya dilarang memasuki kamar perbicaraan yang biasanya terbuka untuk umum.
"Perbicaraan secara maya ini memberikan kekurangan yang jelas bagi pihak tertuduh," kata peguam Dedi Setiadi.
Indonesia beralih kepada perbicaraan mahkamah secara maya ekoran sekatan akibat pandemik COVID-19 yang menghalang perbicaraan secara langsung.
Ia termasuk perbicaraan kes pembunuhan dan pengedaran dadah yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.
Sejak awal tahun lalu, hampir 100 banduan dihukum mati di Indonesia oleh hakim yang hanya dapat melihat tertuduh melalui skrin televisyen, dakwa Amnesty International.
#jatuh hukum secara maya
#mahkamah indonesia
#penghinaan
#tidak berperikemanusiaan
#banduan
#pasukan penembak