Tindakan Israel serang penempatan PBB undang teguran Washington
Agensi
Januari 24, 2024 06:15 MYT
Januari 24, 2024 06:15 MYT
GAZA: Kereta kebal Israel telah menyerang penempatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melindungi penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal pada Rabu.
Menurut PBB, serangan berkenaan yang menyebabkan berlaku “korban besar-besaran.”
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan rejim Zionis yang sebaliknya, berpendapat, ada kemungkinan serangan itu dilancarkan sendiri oleh pasukan pejuang Palestin, Hamas.
PBB berkata, serangan berlaku di kawasan latihan vokasional yang menempatkan 30,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis, bandar utama selatan Gaza.
Serangan berkenaan juga mengundang kecaman daripada Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu Israel - sesuatu yang amat jarang berlaku.
Menurut Koordinator Kemanusiaan PBB untuk Palestin, James McGoldrick, pembunuhan besar-besaran telah berlaku, beberapa bangunan terbakar dan orang ramai cuba melarikan diri namun tidak dapat berbuat demikian.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Gaza untuk agensi PBB, UNRWA, Thomas White berkata, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 75 cedera dalam bangunan yang menempatkan 800 orang.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, jumlah kematian mungkin lebih tinggi.
Katanya, kawasan kompaun itu adalah kemudahan PBB yang ditanda dengan jelas dan koordinatnya dikongsi dengan Pihak Berkuasa Israel seperti yang dilakukan untuk semua kemudahan UNRWA.
Tegasnya, sekali lagi secara terang-terangan Israel mengabaikan peraturan asas perang.
Di Washington pula, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Vedant Patel berkata, AS kesal dengan serangan ke atas pusat latihan Khan Younis PBB.
Tegasnya, orang awam, kemudahan PBB dan pekerja kemanusiaan mesti dilindungi supaya mereka boleh terus memberikan bantuan menyelamatkan nyawa.
Washington telah mencetuskan kebimbangan dan meminta Israel untuk mendapatkan maklumat mengenai insiden semasa konflik tetapi negara itu jarang secara terbuka mengkritik tindakan Israel.
Beberapa jam selepas serangan, kakitangan PBB masih tidak dapat sampai ke kawasan itu dan semua komunikasi ditutup.
Tentera Israel telah melancarkan serangan darat terbesar mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan, mengepung bandar itu yang menempatkan ratusan ribu orang yang melarikan diri dari
pertempuran di tempat lain di Gaza.
Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini berada di Khan Younis dan bandar-bandar di utara dan selatannya. - Agensi