Tindakan Iran kerana Israel sudah melampaui batas - Pakar
Azib Zikry
April 14, 2024 13:00 MYT
April 14, 2024 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Iran melancarkan serangan dron ke atas wilayah Israel, kerana mereka sudah keterlaluan mencabar kedaulatan mereka.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Salawati Mat Basir berpandangan, ia dapat dilihat apabila Iran tidak melatah susulan beberapa siri serangan terhadap pemimpin tertinggi mereka sebelum ini.
Tetapi tindakan rejim Israel yang menyerang konsulat mereka, selain tindakan kejam melampaui batas di Palestin adalah sebab mengapa Iran mengambil tindakan sedemikian.
“Tetapi saya percaya akan ada rundingan belakang tabir, Iran tidak akan buat keputusan melulu dan mereka sudah bersabar sekian lama.
“Beberapa jeneral Iran dibunuh di Damsyik, Iran tidak membuat sebarang balas dendam.
“Kerana komander sudah dibunuh ia adalah sesuatu yang salah disisi undang-undang antarabangsa dilaksanakan Israel kerana dianggap 'extra-territory juridical killing',” tambahnya lagi.
Sebelum ini, wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sifatkan serangannya ke atas Israel sebagai mengikut lunas undang-undang.
Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran tegaskan republik itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.