Tindakan bakar al-Quran di Sweden singgung perasaan 2 bilion umat Islam - Liga Arab

Bernama
Jun 30, 2023 15:35 MYT
Pada Rabu, seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan telah mengoyak senaskah al-Quran dan membakarnya di hadapan masjid Stockholm. - Gambar/ Reuters
KAHERAH: Menteri-menteri luar Majlis Liga Arab mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kejam pembakaran naskhah Al-Quran di Stockholm, Sweden.
Majlis itu mengutuk insiden yang berlaku pada Rabu itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang menggalakkan kebencian, keganasan dan sangat menyinggung perasaan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan kenyataan Majlis itu yang menekankan mengenai perlunya desakan dalam menangani tindakan kebencian berbahaya sedemikian yang mencetuskan keganasan dan menghina kepercayaan agama.
"Mereka menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengiktiraf tingkah laku ini sebagai jenayah kebencian dan hasutan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Pada Rabu, seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan telah mengoyak senaskah al-Quran dan membakarnya di hadapan masjid Stockholm semasa demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.
Insiden itu berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha.
Pada Januari lepas, seorang pelampau sayap kanan juga membakar naskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm yang mencetuskan kemarahan dunia Islam.
-- BERNAMA
#Sweden #bakar al-Quran #Liga Arab #Aidiladha
;