Timbunan sampah 'timbul' akibat pencairan glasier di Gunung Everest
Agensi
Jun 6, 2019 08:04 MYT
Jun 6, 2019 08:04 MYT
Pencairan glasier di Gunung Everest secara tidak langsung mendedahkan timbunan sisa buangan beberapa dekad lalu yang kembali ‘timbul’ sekali gus menggambarkan tabiat buruk pendaki gunung tertinggi dunia itu.
Bukan hanya tangga aluminium, tin minuman atau peralatan mendaki, malah najis juga ditemui di pergunung itu, kata satu kenyataan rasmi dari Nepal.
14 pasukan telah dihantar oleh kerajaan Nepal yang mengambil masa sekitar enam minggu untuk mengutip sampah hingga di paras ketinggian 8,000 meter.
Beberapa beg berisi sampah kemudiannya diterbangkan menggunakan helikopter ke Kathmandu atau trak sebelum dihantar ke syarikat kitar semula pada Hari Alam Sekitar Dunia yang disambut pada Rabu.
“Kami mengutip sisa buangan, namun perlu diingat bahawa cara menanganinya juga adalah penting,” kata Ketua Jabatan Pelacongan Nepal, Dandu Raj Ghimirie.
Sampah-sampah itu kemudiannya diasingkan mengikut jenis bahan sebelum dikitar semula.
“Lazimnya sampah yang paling banyak ditemui adalah besi, aluminium dan kaca yang memang boleh dikitar semula,” kata Nabim Bikash Maharjan dari syarikat kitar semua Blue Waste.
Dalam pada itu, kerajaan Nepal dan China terpaksa menjalankan operasi mengutip sampah yang ditinggalkan oleh pendaki.
Enam tahun lalu, kerajaan Nepal mengenakan bayaran sebanyak AS$4,000 (RM16,700) kepada setiap kumpulan pendaki. Wang tersebut akan dipulangkan semula sekiranya setiap seorang daripada mereka berjaya membawa turun sekurang-kurangnya 8 kilogram sampah, namun hanya segelintir yang berbuat demikian.
Februari lalu, kerajaan China menyekat laluan ke kem pusat Gunung Everest di Tibet kepada bukan pendaki dalam usaha mengekalkan kebersihan di sekitar kawasan pergunungan itu.