Timbalan Perdana Menteri Thailand nafi khabar angin pembubaran Parlimen

Bernama
Jun 11, 2021 00:17 MYT
Wissanu berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang perbincangan mengenai rancangan untuk membubarkan Parlimen. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Wissanu Krea-ngam menafikan khabar angin Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Wissanu berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang perbincangan mengenai rancangan untuk membubarkan Parlimen, lapor Bangkok Post.
Kerajaan pimpinan Prayuth pada Mac lalu genap dua tahun memerintah daripada tempoh penggal empat tahun.
Khabar angin mengenai pembubaran Parlimen kian bertiup kencang selepas Prayuth pada Selasa memberitahu kabinet bahawa "kerajaannya hanya memiliki setahun lagi untuk memerintah" dan mereka harus menyegerakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kenyataannya itu kemudian ditafsirkan sebagai kerajaan sedang membuat persediaan untuk membubarkan Parlimen.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan juga menolak spekulasi itu.
Namun, media tempatan melaporkan konflik dalam kerajaan gabungan antara parti yang berkuasa, Parti Palang Pracharath (PPRP) dan tiga rakan sekutu utama, Parti Demokrat, Bhumjaithai, dan Chat Thai Phatthana turut dijangka mendorong Parlimen dibubarkan lebih awal.
-- BERNAMA
#Timbalan Perdana Menteri Thailand #Wissanu Krea-ngam #bubar parlimen #pilihan raya umum #Prayuth Chan o-cha
;