TikTok mungkin dibenarkan beroperasi "untuk sementara waktu", kata Trump

Bernama
Disember 23, 2024 20:45 MYT
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu. - Foto hiasan/REUTERS
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu, lapor Xinhua.
Trump berkata aplikasi perkongsian video popular itu mungkin telah membantu menarik pengundi utama dalam pilihan raya presiden, dan menyatakan kemungkinan untuk mengekalkan TikTok beroperasi "untuk sementara waktu".
"Kami menggunakan TikTok dan kami mendapat sambutan yang hebat. Kami memperoleh berbilion-bilion tontonan," kata presiden terpilih itu pada acara yang dianjurkan oleh organisasi konservatif Turning Point USA di Phoenix, Arizona.
Trump menambah, beliau diperlihatkan carta yang menunjukkan jumlah tontonan yang diterima oleh kempennya pada aplikasi itu.
Pada Rabu, Mahkamah Agung AS bersetuju untuk menyemak permohonan daripada TikTok dan syarikat induknya dari China, ByteDance, untuk menghalang penguatkuasaan undang-undang yang berpotensi menyebabkan penjualan aplikasi itu sebelum 19 Januari ini atau berdepan larangan atas alasan keselamatan negara.
Mahkamah tertinggi negara itu dijadual mendengar hujahan kes berkenaan pada 10 Januari ini.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Presiden terpilih AS #TikTok #beroperasi untuk sementara waktu
;