TikTok didakwa kaut untung hasil 'menayangkan' rayuan penduduk Syria?

Faida Rahim
Oktober 13, 2022 11:21 MYT
TikTok dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bimbang' dengan dakwaan itu dan bakal mengambil tindakan segera. - TikTok/Keith Mason
DAMSYIK: Siasatan terperinci mendedahkan satu dakwaan bahawa aplikasi media sosial, Tik Tok, mengaut keuntungan menerusi penstriman secara langsung dalam kempen kutipan derma buat rakyat Syria.
Menurut laporan BBC, TikTok dilaporkan mengambil keuntungan sehingga 70% daripada hasil dan 'fasilitator' yang menubuhkan siaran langsung juga menerima imbuhan besar sekali gus bermakna hanya jumlah kecil disalurkan ke penduduk Syria.
Dalam pada itu, 'fasilitator' itu juga dilaporkan memiliki kerjasama dengan agensi yang juga sering bergabung dengan TikTok.
Menerusi sesi kutipan derma siaran langsung itu, hadiah yang boleh dihantar penonton strim terdiri daripada bunga ros digital, berharga dari sesen dan juga singa maya berharga sekitar AS$500 (RM2,344).
Ini merupakan ciri khas yang direka untuk memberi ganjaran atau tip kepada pencipta kandungan.
Difahamkan, penstriman kempen kutipan derma secara langsung ini selalunya boleh menjana sehingga AS$1,000 sejam (RM4,688).
Dalam penstriman yang dimaksudkan, kanak-kanak dan juga orang dewasa Syria menjadi subjek eksploitasi dengan merayu bantuan derma itu untuk mengurangkan kesengsaraan mereka.
TikTok dalam satu kenyataan berkata, pihaknya ‘bimbang' dengan dakwaan itu dan bakal mengambil tindakan segera.
"Jenis kandungan ini tidak dibenarkan di platform kami dan kami mengukuhkan lagi dasar global kami mengenai isu 'eksploitasi kutipan derma' ini," kata wakil jurucakap TikTok.
Syarikat analisis Sensor Tower melaporkan TikTok, aplikasi media sosial yang paling pesat berkembang di dunia ketika ini menjana pendapatan kasar lebih daripada AS$6.2 bilion (RM29.7 bilion) sejak dilancarkan pada 2017.
#TikTok #Syria #media sosial #kutipan derma
;