TikTok bertindak ke atas lebih 7 juta akaun pengguna bawah umur
Agensi
Julai 1, 2021 12:30 MYT
Julai 1, 2021 12:30 MYT
WASHINGTON: TikTok mengambil tindakan ke atas lebih tujuh juta akaun pengguna yang dipercayai di bawah usia 13 tahun dalam tempoh tiga bulan pertama 2021, menurut pengendali laman sosial popular itu pada Rabu.
Agensi berita AFP melaporkan, aplikasi dari China yang sangat popular dalam kalangan pengguna telefon pintar golongan muda itu juga menarik balik hampir 62 juta video dalam penggal pertama tahun ini kerana melanggar standard komuniti, susulan kandungan berunsur kebencian, lucah, pemerasan dan keselamatan golongan bawah usia.
Dalam pendedahan kali pertama berkaitan pengguna bawah umur, TikTok berkata, pihaknya menggunakan pelbagai kaedah termasuk khidmat pasukan keselamatan yang memantau akaun yang dipercayai ‘tidak jujur’ dalam mengisytiharkan usia, seterusnya dihapus atau dialihkan akses.
Di Amerika Syarikat (AS), pengguna yang berusia 12 tahun ke bawah telah disalurkan akses mereka hanya kepada ‘pengguna muda TikTok’.
TikTok, yang dimiliki ByteDance, dipercayai memiliki sekitar satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk lebih daripada 100 juta di AS.
Bulan lalu, pentadbiran Presiden AS Joe Biden telah menarik balik arahan Donald Trump yang menjurus kepada pengharaman TikTok, atau memaksa jualan pemilikannya kepada pelabur AS.
Laporan terkini dari TikTok itu hadir ketika terdapat desakan ke atas pengendali media sosial berkenaan supaya menghapuskan kandungan berunsur kebencian dan tidak bermoral agar ia terus dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
TikTok menambah, selain daripada tindakan yang dibuat ke atas pengguna bawah usia, hampir empat juta akaun lagi dihapus kerana melanggar garis panduan aplikasi itu.
"Pasukan polisi, operasi, keselamatan dan pakar pemantau TikTok kini bekerjasama untuk membangunkan dasar yang kukuh agar ia dapat dikuatkuasakan secara konsisten.
"Polisi kami mengambil kira pelbagai maklum balas yang dikumpulkan dari pakar luaran dalam aspek keselamatan digital dan hak asasi, dan kami memberi perhatian tentang budaya setempat dalam pasaran perkhidmatan kami," kata laporan itu.
#TikTok
#pengguna
#bawah usia
#kandungan lucah
#kebencian
#pemerasan
#pelaksanaan polisi
#media sosial