Tikhanovskaya tewas saingan jawatan presiden, dakwa pilihan raya Belarus dicemari penipuan
Astro Awani
Ogos 10, 2020 05:58 MYT
Ogos 10, 2020 05:58 MYT
Saingan utama jawatan Presiden Belarus enggan menerima kekalahan pada pilihan raya umum yang didakwa dibayangi keganasan dan penipuan undi.
Svetlana Tikhanovskaya sebaliknya mendakwa beliau ialah pemenang sebenar dalam proses demokrasi itu.
Pemenang yang sudah memimpin Belarus selama kira-kira 26 tahun, Alexander Lukashenko dilantik sebagai presiden bagi penggal keenam dengan memperoleh 80.23 peratus undi.
Keputusan itu bagaimanapun tidak diterima Tikhanovskaya atas dakwaan proses dan pengurusan pilihan raya itu sangat lemah disebabkan tiada pasukan pemantau sekali gus mendedahkan kepada penyelewengan undi.
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalanan selepas keputusan pilihan raya tersebut dan sebahagiannya bertempur dengan ratusan anggota polis.
Tikhanovskaya yang merupakan seorang guru bahasa Inggeris bertindak mencabar ahli politik yang menjadi presiden sejak 1994 itu selepas suaminya yang merupakan seorang blogger popular dipenjarakan dan dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden.
Pada Isnin, jawatankuasa penyiasat Belarus membuka kertas siasatan terhadap rusuhan besar-besaran dan keganasan terhadap pegawai polis.
Kemarahan terhadap Lukashenko diburukkan lagi dengan tindak balas kerajaan menangani COVID-19 di negara itu.
Presiden itu sebelum ini hanya menasihati rakyat supaya minum vodka dan melawat sauna bagi melawan jangkitan itu.
Belarus yang penduduknya berjumlah 95 juta orang melaporkan lebih 70,000 kes COVID-19 dengan 600 kematian.