Tikam kembar hingga mati kerana berebut teman lelaki
Agensi
Julai 1, 2019 19:29 MYT
Julai 1, 2019 19:29 MYT
Sepasang adik-beradik kembar berbalah sesama sendiri sebelum salah seorang daripada mereka mati akibat ditikam hanya kerana berebutkan teman lelaki.
Dalam kejadian pada Sabtu, Anna dan Amanda Ramirez bertengkar di dalam pangsapuri mereka di Camden, New Jersey, Amerika Syarikat.
Pergaduhan mereka berlanjutan sehingga ke luar rumah sebelum Amanda dilaporkan mengambil sebilah pisau dan menikam Anna.
Seorang saksi berkata dia terdengar jeritan Anna: “Amanda, awak tikam saya”, sebelum melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
Saksi turut memberitahu dia terdengar Amanda mengugut Anna dengan berkata: “Lihat apa saya mampu buat.”
Keterangan saksi itu direkodkan di hadapan Hakim Edward McBride di mahkamah di Camden.
Anna dilaporkan meninggal dunia akibat tikaman kurang satu jam selepas dirawat di hospital.
Sehari selepas kejadian, Amanda dihadapkan ke mahkamah. Dalam pengakuannya, Amanda berkata punca kejadian adalah akibat cinta tiga segi.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan yang merupakan pihak ketiga dalam kes itu tidak berada di lokasi kejadian dan memberi kerjasama yang baik kepada polis.
Terdahulu, ibu saudara pasangan kembar itu, Blanca Cass, berkata pergaduhan itu berkisarkan teman lelaki Anna.
“Mereka ke sebuah parti, mabuk dan bertengkar mengenai teman lelaki. Dia (Amanda) naik angin dan terus menikam kembarnya.
“Tragedi ini sangat menyedihkan. Saya seakan tidak mempercayainya. Ia umpama apa yang anda lihat dalam filem,” katanya kepada New York Times.
Anna mempunyai tiga anak perempuan manakala Amanda pula memiliki seorang anak perempuan.