Tikam anak sehingga maut hanya kerana rosakkan motosikal
Sinar Harian
Oktober 1, 2024 09:00 MYT
Oktober 1, 2024 09:00 MYT
SULAWESI: Gara-gara motosikal miliknya dirosakkan, seorang ayah menikam anak kandungnya sehingga meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di perumahan Lagosi, Kabupaten Maros.
Media tempatan melaporkan insiden berlaku pada 11 Ogos lalu, selepas mangsa seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dihantar ke klinik Kesihatan Labakkang, oleh seorang yang dipercayai kawannya bagi mendapatkan rawatan setelah dia cedera teruk akibat ditikam.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlihat mangsa yang berada dalam keadaan parah dihantar oleh individu berkenaan yang kemudiannya 'menghilangkan diri'.
Polis bagaimanapun berjaya merungkai kes berkenaan selepas tujuh minggu melakukan siasatan menerusi dapatan sumber bukti.
Suspek yang dikenali sebagai Bambang Irawan,44, kemudiannya berjaya ditangkap di Desa Carangki, Kecamatan Tanralili, pada 28 September 2024.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Daerah Pangkep, Ipda Azwin Mubarok berkata, suspek dipercayai hilang kawalan selepas mendapati motosikalnya rosak selepas dijatuhkan secara tidak sengaja oleh mangsa.
Kejadian itu menyebabkan motosikal terbabit mengalami beberapa kerosakan antaranya kerosakan brek.
"Hasil siasatan mendapati suspek mula memukul mangsa menggunakan batang kayu ubi, kemudian menikam mangsa di badan menggunakan sebilah pisau," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Ujarnya lagi, penangkapan suspek berjaya dilakukan setelah dua orang saksi datang memberi keterangan di balai polis.
"Saksi kejadian menceritakan kejadian itu selain melihat mangsa di bawa ke klinik kesihatan," katanya. - Sinar Harian memetik agensi