Tigerair Australia salahkan Indonesia atas kekecohan penerbangan Bali
Agensi
Januari 12, 2017 15:55 MYT
Januari 12, 2017 15:55 MYT
Tigerair Australia pada Khamis telah menyalahkan Indonesia kerana gagal mematuhi perjanjian bagi membenarkan pesawatnya melakukan penerbangan ke Bali, sehari selepas beratus-ratus penumpang penerbangan bajet tersebut terkandas di sana atas masalah birokrasi.
Syarikat penerbangan tersebut yang dimiliki Virgin Australia Holdings itu berkata, pihak berkuasa Indonesia telah meluluskan operasi penerbangan antara Australia dan Bali sehingga 25 Mac namun prosedur terbaharu telah menimbulkan kekeliruan.
“Sekiranya pihak kerajaan Indonesia tidak mahu mematuhi perjanjian sedia ada, kami meminta mereka untuk memberikan tempoh penangguhan supaya kami dapat meneruskan penerbangan sementara berbincang mengenai keperluan bersama.
“Ini akan membantu kami dalam menyokong para pelanggan membuat sumbangan kepada industri pelancongan di Indonesia,” kata Ketua Eksekutif Tigerair Rob Sharp dalam sebuah kenyataan.
Penerbangan Tigerair dari Melbourne, Adelaide dan Perth ke Bali telah bermula semenjak Mac lalu dan telah terbang menggunakan lesen dan juruterbang Virgin Australia sehingga Indonesia memberi kebenaran untuk Tigerair beroperasi sendiri.
“Tigerair tidak memenuhi syarat bagi sebuah penerbangan sewa khas. Mereka tidak sepatutnya menjual tiket-tiket penerbangan di wilayah Indonesia,” jelas jurucakap pengangkutan udara di Indonesia, Agoes Soebagjo.
Tigerair berkata bahawa kesemua penerbangannya ke Bali pada Khamis dan awal pagi Jumaat telah dibatalkan. Turut dijelaskan bahawa sebanyak lima penerbangan pergi dan balik ke Bali pada Jumaat sedang dipertimbangkan.
Tigerair turut menambah bahawa Virgin Australia akan menjalankan operasi penerbangannya dari Bali pada Khamis untuk membawa pulang seberapa banyak penumpang yang terkandas di sana.
Bali yang dikenali dengan landskap pantai, gunung dan jelapang padi merupakan sebuah destinasi percutian yang terkenal dikalangan warga Australia.