Tiga terbunuh, empat cedera dalam kejadian tembakan di Chiang Rai
Bernama
Julai 15, 2022 04:06 MYT
Julai 15, 2022 04:06 MYT
BANGKOK: Seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah melepaskan tembakan di luar sebuah balai raya di daerah Mae Suai, di wilayah utara Chiang Rai, membunuh tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, beberapa kucing dan anjing turut mati dan empat lagi cedera ketika lelaki itu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Superintendan Balai Polis Mae Suai Kolonel Sophon Muangfueng berkata polis menahan seorang penganggur berusia 26 tahun yang cuba bersembunyi selepas tragedi itu.
"Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu dan dipujuk ahli keluarganya untuk menyerah diri.
"Suspek didakwa atas pertuduhan membunuh, memiliki senjata berbahaya di khalayak ramai, menceroboh dan memiliki dadah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Sophon berkata saksi melihat lelaki itu membawa senapang patah berjalan dengan tenang ke arah penduduk kampung yang sedang berkumpul di luar balai raya sebelum mula melepaskan tembakan.
Mangsa yang maut berumur antara empat hingga 45 tahun manakala yang cedera berusia antara 21 hingga 61 tahun.
-- BERNAMA