Tiga terbunuh bom meletup di pasar di Yala

Bernama
Januari 22, 2018 13:33 MYT
Anggota polis dan tentera memeriksa kawasan letupan bom di Yala, Thailand hari ini. - REUTERS
Tiga orang disahkan terbunuh manakala sekurang-kurangnya 18 yang lain cedera apabila sebutir bom motosikal meletup di sebuah pasar di wilayah bergolak Yala, selatan Thailand kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Ketua Polis Yala Mej Jen Krisada Jandee yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden berlaku di Pasar Pimonchai yang terletak di tengah-tengah bandar Yala ketika pelanggan sedang sibuk membeli barangan keperluan.
"Dua daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian, manakala mangsa ketiga pula maut di Hospital Yala," katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Muang Kol Prawit Soseng berkata, bom yang diletakkan di sebuah motosikal itu dianggar seberat 20kg hingga 30kg dan diaktifkan menggunakan alatan pemasa.
Menurutnya, sehingga kini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.
Pergolakan bersenjata di selatan Thailand terutamanya di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat bermula awal tahun 2000 sehingga kini telah menyebabkan lebih 7,000 mangsa terbunuh manakala ribuan lagi cedera. -- Bernama
#letupan bom #yala
;