Tiga terbunuh, 13 cedera dalam serbuan Zionis

Astro Awani
Jun 7, 2024 09:20 MYT
Seorang rakyat Palestin memeriksa bangunan sekolah UNRWA yang musnah akibat diserang tentera rejim Zionis Israel di kem pelarian Nuseirat. - Foto REUTERS
TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 13 cedera dalam sebuah serbuan dilakukan rejim Zionis di bandar Jenin, Tebing Barat pada Khamis.
Tentera rejim Israel dalam satu kenyataan mendakwa, ketika kejadian mereka kononnya sedang berbalas tembakan dengan pasukan pejuang Islam semasa operasi di Jenin.
Dakwa mereka, pasukan itu berjaya membunuh beberapa orang yang dianggap sebagai militan dan mencederakan yang lain, termasuk mereka yang melontar bahan letupan.
Mereka turut mendakwa bahawa sebuah helikopter tentera mendarat kawasan itu dan seorang suspek telah ditangkap.
Sejak perang Gaza bermula pada Oktober lepas, Tebing Barat telah menjadi kawasan konflik kedua.
Penduduk Palestin di Tebing Barat hidup di bawah pemerintahan tentera Israel tetapi mempunyai sedikit hak pemerintahan sendiri namun tetap optimis untuk memiliki sebuah negara sendiri pada masa hadapan.
Bagaimanapun, keganasan di kawasan itu meningkat, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh pada 2023 adalah tinggi dan terdapat peningkatan serbuan tentera rejim tersebut.
Menurut PBB, lebih 500 rakyat Palestin dan 12 warga Israel telah terbunuh di Tebing Barat sejak 7 Oktober.
#Israel #Tebing Barat #serangan #pejuang Islam
;