Tiga tahun hilang, karya seni Vincent van Gogh ditemui semula

Sinar Harian
September 13, 2023 09:30 MYT
Brand menunjukkan lukisan Parsonage Garden at Nuenen in Spring yang ditemuinya. - Foto: AFP
THE HAGUE: Seorang detektif karya seni di Belanda berjaya menemui semula lukisan berharga Vincent van Gogh yang dilarikan dari sebuah muzium ketika lockdown sewaktu pandemik COVID-19, lebih tiga tahun lalu.
Lukisan Parsonage Garden at Nuenen in Spring (1884) yang bernilai antara tiga juta euro (RM15 juta) dan enam juta euro (RM30 juta) kini disimpan oleh Arthur Brand yang mendapat julukan Indiana Jones of the Art World di kediamannya di Amsterdam.
“Brand berjaya menyelesaikan masalah itu hasil kerjasama dengan pihak berkuasa. Ia adalah lukisan yang asli,” kata jurucakap unit jenayah karya seni, Richard Bronswijk.
Sementara itu, Brand menjelaskan lukisan di dalam beg biru IKEA itu diserahkan oleh seorang lelaki setelah dihubungi beberapa kali.
Karya seni tersebut dirompak dari Singer Laren Museum berhampiran Amsterdam pada 30 Mac 2020, malah kejadian itu turut mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Pada April 2021, pihak berkuasa menahan seorang lelaki dikenali sebagai Nils M kerana melakukan rompakan itu dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.
Tertuduh juga dilaporkan merompak satu lagi karya seni agung oleh Frans Hals digelar Two Laughing Boys. - AFP/ Sinar Harian
#lukisan Vincent van Gogh #vincent van gogh #detektif karya seni #lukisan Parsonage Garden at Nuenen in Spring
;