Tiga tahun atasi jerebu hanya realistik jika ada tindakan konkrit - WWF Indonesia

Bernama
Oktober 1, 2015 23:45 MYT
Presiden Indonesia Joko Widodo yang dipetik media tempatan sebagai berkata kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan di negara itu. - Gambar Fail
Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Indonesia menyifatkan tempoh tiga tahun yang disasarkan kerajaan republik ini untuk mengatasi masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan ladang di negara ini, hanya realistik jika ia disertai dengan pembinaan empangan dan terusan.
Pengarah Konservasi WWF Dr Arnold Sitompul dalam kenyataannya di sini, hari ini berkata pembinaan empangan dan terusan di kawasan tanah gambut dan ladang adalah antara langkah yang boleh mengatasi kebakaran dengan cara melembabkan tanah.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Indonesia Joko Widodo yang dipetik media tempatan sebagai berkata kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan di negara itu, sekali gus menyelesaikan masalah jerebu yang turut melanda negara jirannya.
Indonesia sentiasa berusaha mengatasi isu pembakaran hutan dan ia tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa singkat, kata presiden itu.
Arnold berkata pembinaan empangan dan menyalurkan air menerusi terusan juga berkesan untuk mengurangkan titik panas iaitu kawasan kebakaran.
Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting ialah penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan kerajaan perlu mempunyai mekanisme bagi memastikan para pengusaha ladang melaksanakan amalan sifar pembakaran terbuka.
Sementara itu, keadaan jerebu di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 1,200 pada 3 petang tadi.
Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, bacaan IPU itu adalah di tahap berbahaya dan ia didapati terus meningkat sehingga melebihi catatan indeks maksima 1,200.
Keadaan jerebu di Palangkaraya itu telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat selain semua sekolah ditutup sejak Isnin selepas ia diisytiharkan darurat jerebu.
Selain itu, Jambi mencatatkan bacaan IPU sehingga 1,000 pada 7 malam waktu tempatan manakala bacaan IPU di Palembang pagi tadi ialah 984 sebelum menurun kepada 400 pada 7 malam.
#Dr Arnold Sitompul #Hidupan Liar Sedunia Indonesia #Joko Widodo #WWF
;