Tiga sekeluarga maut terhidu gas beracun ketika gali lubang najis
Agensi
Disember 27, 2017 18:45 MYT
Disember 27, 2017 18:45 MYT
Semalam, kita dikejutkan dengan berita empat sekeluarga di Lombok Timur yang maut seorang demi seorang akibat terkena renjatan elektrik di sawah milik mereka.
Hari ini, khabar mendukacitakan dengan jalan cerita yang hampir sama pula berlaku di Pusuruan, Indonesia pada Rabu.
Menurut laporan media tempatan, tiga sekeluarga terkorban pada 8.40 pagi tadi setelah terhidu gas beracun di belakang rumah mereka.
Menurut laporan portal Warta Bromo, ketika kejadian, si ayah Suparno, 40 tahun, yang dibantu anaknya Junaidi, 20 tahun, dikatakan sedang menggali lubang tangki septik baharu di belakang rumah ekoran tangki lama yang sudah penuh dan tidak lagi berfungsi.
Dikhabarkan lubang yang digali Suparno sejak beberapa hari lalu hanya terletak kira-kira 30 cm di sebelah tangki lama tersebut.
Suparno sempat menggali lubang sedalam lebih 4 meter apabila secara tiba-tiba dinding tanah itu bocor dan air kumbahan serta gas beracun daripada tangki septik lama mencurah masuk dan memenuhi lubang yang baru digali.
Suparno yang berada di dalam lubang tersebut terendam di dalam air limpahan selain melemah setelah dipercayai terhidu gas beracun daripada tangki septik tersebut.
Melihat keadaan ayahnya, Junaidi cuba memberi bantuan dengan menariknya keluar dari lubang sambil berteriak meminta pertolongan. Tetapi malang bagi Junaidi apabila dia juga terhidu gas beracun dan pengsan.
Mujiono, 45 tahun, yang terdengar teriakan anak saudaranya Junaidi meluru ke lokasi kejadian dan cuba menyelamatkan kedua-dua mereka.
Malang baginya apabila dia sendiri turut rebah dan pengsan.
Seorang lagi ahli keluarga, Jamin, 65 tahun, iaitu ayah kepada Suparno yang tiba seketika kemudian cuba memberikan pertolongan kepada dua anak dan cucunya itu, namun dia sendiri rebah dan tidak sedarkan diri.
Penduduk yang menyedari kejadian itu berjaya menarik keluar kesemua mangsa yang terjatuh ke dalam lubang septic tersebut, namun hanya Jamin yang berjaya diselamatkan.
Ketiga-tiga mangsa yang lain disahkan meninggal dunia di Rumah Sakit Pusdik Shabara Porong, manakala Jamin masih dirawat dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Polis Indonesia mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.