Tiga petugas media wanita mati ditembak di Afghanistan

Astro Awani
Mac 3, 2021 10:50 MYT
Mayat mangsa yang dibunuh lelaki bersenjata dibawa ke hospital di Jalalabad, timur Kabul, Afghanistan, 2 Mac, 2021. (Foto AP)
TIGA petugas media wanita ditembak mati di bandar Jalalabad, timur Kabul, Afghanistan, pada Selasa, menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja profesional di pusat bandar itu.
Ketiga-tiga mangsa merupakan lulusan sekolah tinggi, berumur antara 18 dan 20 tahun, bekerja di bahagian dubbing suara, stesen penyiaran Enikas TV.
Perkara itu disahkan ketua stesen televisyen itu, Zalmai Latifi, menurut laporan Reuters.
Menurut sumber kerajaan, mangsa dibunuh ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Saksi berkata, mereka telah ditembak di kepala oleh lelaki bersenjata yang kemudiannya berjaya melarikan diri.
Sementara itu, seorang wanita keempat turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut jurucakap hospital, dia berada dalam keadaan kritikal.
Ketua polis daerah Juma Gul Hemat berkata, suspek penyerang utama, dipercayai ada kaitan dengan pemberontak Taliban, telah berjaya ditangkap.
Jurucakap Taliban bagaimanapun menafikan kumpulan itu terlibat dalam serangan itu.
#Taliban #Afghanistan #polis #wanita #suspek #serangan #mati #mangsa #cedera #petugas media #tembak #Jalalabad #Enikas TV #Stesen Televisyen #stesen penyiaran
;