Tiga pengeluar ubat Korea Selatan bakal hasilkan pil COVID-19 Merck

Bernama
Januari 21, 2022 06:15 MYT
Senarai pengeluar generik MPP juga termasuk 10 syarikat India dan dua firma China. - Foto fail/AP
SEOUL: Badan kesihatan awam yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengumumkan ia menandatangani perjanjian pelesenan dengan 27 pengeluar ubat generik, termasuk Celltrion Inc., Hanmi Pharm Co. dan Dongbang FTL dari Korea Selatan, bagi menghasilkan pil antiviral Molnupiravir untuk dibekalkan ke 105 negara.
Celltrion akan mengeluarkan ubat siap dan Dongbang FTL akan menghasilkan bahan mentah, manakala Hanmi akan menghasilkan kedua-duanya, menurut Agensi Berita Yonhap.
MPP, yang berfungsi untuk meningkatkan akses dan memudahkan pembangunan ubat-ubatan yang penting itu untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana, menandatangani perjanjian pelesenan dengan pembuat ubat AS tahun lepas bertujuan meningkatkan akses global untuk Molnupiravir.
Kerajaan Korea Selatan berikrar memberikan sokongan aktif untuk syarikat farmaseutikal dengan melonggarkan peraturan dan menubuhkan entiti perundingan yang melibatkan kementerian dan syarikat kerajaan, lapor Yonhap.
"Syarikat-syarikat yang ditawarkan lesen itu berjaya menunjukkan keupayaan mereka untuk memenuhi keperluan MPP yang berkaitan dengan kapasiti pengeluaran, pematuhan kawal selia dan keupayaan untuk memenuhi piawaian antarabangsa untuk ubat-ubatan yang terjamin kualitinya," kata MPP.
"Ini adalah langkah penting ke arah memastikan akses global kepada rawatan COVID-19 yang sangat diperlukan dan kami yakin, memandangkan pengeluar bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, rawatan yang dijangkakan itu akan tersedia dengan cepat dalam negara berpendapatan rendah dan sederhana," tambah kenyatan itu.
Senarai pengeluar generik MPP juga termasuk 10 syarikat India dan dua firma China, dan 13 daripada 27 syarikat akan mengeluarkan kedua-duanya iaitu bahan mentah dan ubat siap, menurut MPP.
-- BERNAMA
#pil COVID-19 #merck #Celltrion #pil antiviral molnupiravir
;