Tiga pelajar Indonesia hasilkan alat kesan mangsa bencana tertimbus
Reuters
September 2, 2019 07:30 MYT
September 2, 2019 07:30 MYT
IA hanya sebesar dan senipis kad kredit.
Tetapi jika anda terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda.
Tiga pelajar universiti Indonesia telah mencipta peranti yang menggunakan isyarat frekuensi tinggi untuk membantu mencari mangsa tertimbus selepas berlakunya bencana alam.
Pengesan yang dinamakan Detector of Interconnected Position Points atau 'Deoterions' ini mengeluarkan isyarat ping dan hanya memerlukan pergerakan paling minimal, termasuk bernafas, yang dapat dikesan sehingga 10km jauhnya.
Penerima isyarat dipasangkan di telefon bimbit atau komputer riba, dan berfungsi dengan aplikasi yang tersedia pada sistem Apple dan Android.
Satrio Wiradinata Riady Boer, 23, salah seorang daripada tiga pelajar berkenaan berkata, inovasi itu diilhamkan dari gempa bumi 7.6 magnitud di kampung halamannya di Padang pada 10 tahun lalu, di mana dia kehilangan seorang kawan dan seorang guru, manakala ibunya pula cedera.
"Jika mangsa berada di bawah runtuhan atau bawah tanah terlalu lama, kaki atau tangan mangsa perlu dipotong, dan bekalan oksigen juga akan habis," kata Boer.
Dua lagi rakannya ialah Adin Okta Triqadafi dan Muhammad Rikza Maulana.
Ketiga-tiga pelajar Universiti Brawijaya itu telah menerima paten untuk prototaip yang berharga AS$7 (RM29.50) itu, tetapi belum bersedia menjualkannya kerana mahu menambah baiknya terlebih dahulu.
"Ini ciptaan yang luar biasa," kata Ali Ghufron Mukti, pegawai kanan Kementerian Pendidikan, sambil menambah kerajaan akan memberikan geran untuk membantu pelajar-pelajar itu membangunkan inovasi mereka.
#Deoterions
#Detector of Interconnected Position Points
#gempa bumi
#Indonesia
#isyarat ping
#mangsa
#pelajar
#peranti
#terperangkap
#tertimbus
#Universiti Brawijaya