Tiga pegawai polis maut dalam insiden tembakan di Baton Rouge Amerika Syarikat

Agensi
Julai 17, 2016 16:25 MYT
Pihak berkuasa sedang mengawal keadaan di lokasi tembak-menembak di Baton Rouge. - Foto AP
Sekurang-kurangnya tiga pegawai polis mati ditembak dalam satu insiden keganasan terbaharu yang berlaku di Louisiana, Amerika Syarikat pada Ahad, lapor sumber rasmi.
“Beberapa pegawai polis terlibat dalam insiden tembak-menembak,” ujar jurucakap polis di Baton Rouge, Don Coppola kepada stesen televisyen tempatan WAFB.
Sementara itu, Datuk Bandar Baton Rouge Kip Holden memberitahu stesen media yang sama bahawa sekurang-kurangnya tiga pegawai dilaporkan dalam keadaan cedera parah.
Stesen televisyen berkenaan menyiarkan rakaman video pihak polis yang berada di tempat kejadian.
Beberapa das tembakan kedengaran sementara beberapa kenderaan awam dilihat menjauhi lokasi tembak-menembak itu.
Stesen penyiaran CNN pula melaporkan tujuh pegawai polis ditembak dengan tiga daripadanya dikhuatiri mati, sementara beberapa lagi dalam keadaan kritikal.
Polis dipercayai bertempur dengan lebih daripada seorang penyerang yang menggunakan raifal.
“Kami rasa situasi berjaya dikawal,” kata Coppola.
Seorang suspek serangan tersebut dilaporkan maut dalam tembakan manakala polis memberitahu dua lagi suspek sedang diburu.
Polis telah menangkap lebih daripada 100 penunjuk perasaan yang terlibat dalam demonstrasi menentang keganasan polis di Baton Rouge minggu lalu.
#Amerika Syarikat #Baton Rouge #pegawai polis ditembak #Penunjuk perasaan #penyerang #protes