Tiga musim cuaca melampau India dalam tempoh 6 bulan
Bernama
Julai 13, 2015 22:35 MYT
Julai 13, 2015 22:35 MYT
Koresponden Bernama di New Delhi, M. Santhiran berkongsi diari kehidupannya di ibu negara India yang mengandungi banyak perbezaan sosial yang unik.
NEW DELHI: Mula-mula sejuk sampai ke tulang kemudian panas berdentang dengan suhu mencecah 42 darjah Celcius dan sekarang pula hujan lebat.
Inilah perubahan mendadak yang berlaku kepada cuaca di India sejak enam bulan saya tinggal di sini.
Selepas musim panas yang terik, sememangnya ramai yang berasa lega dengan ketibaan musim tengkujuh. Saya sendiri masih meneruskan rutin berjalan ke taman-taman yang berhampiran meskipun hujan.
Bagaimanapun, selepas berhari-hari hujan, saya tidak boleh lagi berjalan ke taman kerana banyaknya air yang bertakung.
Kawasan sekitar Rajpath serta jalan utamanya yang mempunyai banyak mercu tanda serta tempat tumpuan masyarakat Delhi pada waktu petang dan hujung minggu ditenggelami air hingga ke paras lutut.
Tempat itu bak Venice kecil India.
Kalau sudah bertakung macam itu, air hanya akan surut selepas berjam-jam lamanya kerana sistem perparitan yang lemah.
Kesesakan dan bekalan elektrik terputus
Seperti juga cuaca sejuk dan panas, musim tengkujuh juga merumitkan keadaan untuk mereka yang tinggal di Delhi.
Seperti yang dialami pengguna jalan raya di Kuala Lumpur yang terpaksa mengharung kesesakan lalu lintas selepas hujan lebat, begitulah juga keadaannya di bandar yang mempunyai 20 juta penduduk ini, cumanya ia lebih teruk!
Untuk menunjukkan betapa teruknya keadaan, ini yang saya alami sendiri sewaktu pulang daripada satu majlis di Kementerian Luar Jumaat lepas.
Untuk perjalanan 15 kilometer, ia mengambil masa tiga jam setengah. Meskipun pemandu saya yang memandu, saya berasa begitu tertekan dan semakin hilang sabar.
Pemandu saya pula cuba mencari jalan lain tetapi setiap kali dia berbuat demikian, hasilnya sama sahaja, sesak di mana-mana. Hampir tidak ada jalan keluar langsung!
Masalah kesesakan menjadi lebih teruk kerana kebanyakan jalan di sini hanya mempunyai dua laluan dan kemalangan kecil adalah perkara biasa.
Untuk rekod, menurut perangkaan rasmi terkini, terdapat 7.4 juta kenderaan berdaftar di jalan-jalan di New Delhi. Jumlah kenderaan yang sama berada di jalan raya di Chennai, Mumbai dan Kolkata.
Selain daripada kesesakan lalu lintas, bekalan elektrik juga kerap terputus di New Delhi dan kebanyakan bandar India yang lain.
Cuma jika ia berlaku pada hari biasa, ia hanya untuk beberapa minit tetapi sejak beberapa hari lepas, keadaan ini berterusan lebih sejam.
Nampaknya grid kuasa yang sudah usang tidak boleh lagi menampung keperluan kuasa elektrik domestik dan industri.
Menuding jari
Minggu lepas, media tempatan melaporkan kegagalan kerajaan tempatan dan kerajaan persekutuan menangani masalah bekalan elektrik.
Seperti biasa, kerajaan persekutuan pimpinan Narindra Modi yang diterajui BJP dan Parti Aam Aadmi diketuai Arvind Kejriwal yang menguasai Delhi saling menuding jari.
Setakat ini tidak nampak jalan penyelesaian jangka pendek atau jangka panjang untuk masalah ini.
Pakar yang ditemuramah media berpendapat bandar-bandar di India tidak mungkin dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan tenaga elektrik ini untuk tempoh dua dekad lagi.
Mereka menyatakan pendapat itu berdasarkan tidak ada perancangan bandar serta sistem perparitan menyeluruh.
Memandangkan perubahan cuaca yang melampau, adalah elok untuk mereka yang ingin melakukan perjalanan ke India mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca di negara ini.
Menurut kebanyakan agensi pelancongan dan penduduk tempatan, waktu terbaik untuk melakukan perjalanan ke India adalah antara bulan Oktober dan Februari.
Dalam tempoh itu, semua negeri Selatan mengalami cuaca yang menyenangkan dengan suhu antara 18 hingga 25 darjah Celsius.
Sementara itu, negeri-negeri di bahagian utara mencatat suhu antara 10 hingga 20 darjah Celsius.