Tiga minggu pencarian panik, kucing kesayangan terlepas di lapangan terbang
Astro Awani
Julai 15, 2022 09:10 MYT
Julai 15, 2022 09:10 MYT
BOSTON: Seekor kucing kesayangan sebuah keluarga yang hilang dari kurungan telah 'menyusahkan' seluruh warga kerja di sebuah lapangan terbang selama tiga minggu.
AP melaporkan, insiden kucing hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan, Boston, Amerika Syarikat itu membuatkan para petugas terminal, kru penerbangan malah pakar haiwan bekerja keras untuk mencarinya, setelah didapati terlepas daripada kurungan khas sewaktu proses ia dikeluarkan dari pesawat yang dinaikinya.
Selepas tiga minggu pencarian, akhirnya kucing yang diberi nama Rowdy itu berjaya ditemukan pada Rabu lalu.
“Sama ada akibat keletihan atau kelaparan, kami tidak pasti. Namun pada pagi ini ia akhirnya membiarkan dirinya ditangkap,” ujar jurucakap lapangan terbang itu dalam satu kenyataan.
Kucing berwarna hitam itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ia dipulangkan kepada keluarga penjaganya.
“Saya seolah-olah tidak percaya. Saya sangkakan sulit untuk mempunyai peluang bertemu dengannya semula. Namun, apabila saya menerima panggilan (daripada pihak lapangan terbang) saya sangat terkejut,” ujar pemiliknyam Patty Sahli.
Pada 24 Jun lalu, Sahli dan suaminya, Rich, pulang ke Amerika Syarikat selepas 15 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera di Jerman. Sejurus pesawat Lufthansa yang dinaiki mereka mendarat, kucing berusia empat tahun yang bermata hijau itu didapati terlepas dari kurungan, dipercayai mahu mengejar burung.
Akhirnya Rowdy sendiri yang dicari dan dikejar ramai orang, dalam ‘operasi pencarian’ melibatkan puluhan petugas lapangan terbang dan kru penerbangan Lufthansa, pekerja binaan doi lokasi dan pekerja dari pusat kebajikan haiwan.
Pencariannya juga melibatkan penggunaan kamera hidupan liar dan perangkap selamat.
Walaupun sering kelibatnya dilihat di sekitar kawasan lapangan terbang itu, Rowdy kerap lolos dari tangkapan. Namun, kini semua pihak sudah berasa lega.
“Semua ini usaha komuniti yang hebat. Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencarinya,” ujar Sahli.