Tiga maut termasuk bekas Datuk Bandar, dua cedera insiden tembakan di universiti Filipina

Bernama
Julai 24, 2022 21:17 MYT
Antara yang terkorban adalah bekas Datuk Bandar Lamitan city, Rose Furigay. - Gambar/ AP
MANILA: Insiden tembakan di sebuah kampus universiti di Metro Manila pada Ahad, mengorbankan tiga individu, manakala dua lagi cedera, menurut polis Filipina.
Pihak Berkuasa Pembangunan Metro Manila mengesahkan kejadian berlaku pada 14.55 tengah hari waktu tempatan di pintu masuk Universiti Ateneo de Manila di Quezon City, lapor Agensi Berita Xinhua.
"Seorang pengawal keselamatan turut terbunuh," kata Pengarah daerah Polis Quezon City, Remus Medina.
Insiden Tembakan | Bekas Datuk Bandar Filipina mati ditembak di universiti
Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta tetapi berjaya ditahan pihak polis.
Ejen Biro Penyiasatan Kebangsaan juga telah dikerah ke lokasi kejadian "untuk menyiasat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dan pihak universiti."
Kampus "ditutup buat masa ini," menurut universiti itu.
Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi Alexander Gesmundo dijadual menghadiri majlis graduasi lulusan undang-undang pada petang Ahad.
Jurucakap Mahkamah Agung Brian Hosaka berkata Gesmundo "yang dalam perjalanan ke lokasi itu dinasihatkan untuk berpatah balik".
Sementara itu, Reuters melaporkan, antara yang terkorban adalah bekas Datuk Bandar Lamitan city, Rose Furigay.
Ketua Polis Quezon City, Remus Medina, berkata kejadian itu dipercayai bermotifkan untuk membunuh Furigay.
#kes tembakan #universiti filipina #Universiti Ateneo de Manila #maut
;