Tiga maut, puluhan cedera dalam kemalangan bas di Peru

Astro Awani
Jun 28, 2024 08:15 MYT
Kemalangan berlaku di sebatang jalan yang menghubungkan Juliaca dan Cusco, di bandar Puno, selatan Peru, pada Khamis, mengakibatkan tiga terkorban dan sekurang-kurangnya 25 cedera. - REUTERS
SEKURANG-kurangnya tiga terkorban dan puluhan cedera dalam kemalangan jalan raya di selatan Peru susulan pertembungan dua buah bas awal pagi Khamis.
Menurut media tempatan, dalam kejadian di sebatang jalan yang menghubungkan Juliaca dan Cusco, di bandar Puno itu, antara yang terkorban termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.
Pada masa sama, sekurang-kurangnya 25 penumpang cedera, termasuk seorang pelancong dari Perancis, Bastien Bashuer Le Sommer.
Dia bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas insiden itu. "Saya sihat. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Tangan saya yang cedera telah menerima jahitan."
Manakala seorang lagi penumpang rakyat Sepanyol, Irma Quiros berkata, dia melihat seorang kanak-kanak tercampak dalam kejadian itu.
"Di sebelah saya duduk seorang lelaki, dan di sebelah kirinya, adalah isteri dan anaknya. Apabila kemalangan berlaku, anak mereka telah tercampak," katanya.
Mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk urusan selanjutnya. - Agensi
#Peru #dua bas bertembung #kemalangan jalan raya #pelancong
;