Tiga maut, lelaki lepaskan tembakan di hospital Haiti
Astro Awani
Disember 25, 2024 12:50 MYT
Disember 25, 2024 12:50 MYT
PORT-AU-PRINCE: Tiga orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera pada Selasa apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan wartawan sebelum sidang akhbar Kerajaan pembukaan semula hospital awam terbesar di Haiti.
Salah seorang wartawan di lokasi kejadian yang enggan namanya disiarkan memberitahu dua orang wartawan dan seorang pegawai polis terbunuh akibat insiden itu.
Dalam satu rakaman video, sekumpulan wartawan dilihat meniarap di lantai ketakutan seterusnya memanjat tembok meninggalkan lokasi selepas kejadian.
Geng bersenjata di ibu kota Haiti, yang hampir menguasai sepenuhnya Port-au-Prince dan mempunyai kawalan yang luas di seluruh negara, mensasarkan hospital untuk menunjukkan kuasa mereka terhadap Kerajaan sekali gus memaksa banyak hospital ditutup.
Sebelum itu, sekumpulan wartawan hadir ke hospital berkenaan pada jam 8 pagi untuk satu sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan baharu Haiti, Dr Duckenson Lorthe Blema sebelum tembakan dilepaskan sekitar jam 11 pagi.
Hospital Universiti Negeri Haiti merupakan hospital awam terbesar di negara itu namun terpaksa ditutup sejak peningkatan serangan geng bersenjata pada bulan Mac lalu.