Tiga maut ditikam, ditembak di Jepun
Bernama
Mei 25, 2023 00:17 MYT
Mei 25, 2023 00:17 MYT
TOKYO: Seorang wanita dan dua pegawai polis terbunuh selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan senapang memburu di wilayah Nagano, Jepun, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian, dan dipercayai bersembunyi di bangunan berhampiran manakala beberapa das tembakan turut kedengaran berhampiran tempat kejadian, menurut media tempatan.
Polis tempatan berkata seorang lagi lelaki mengalami kecederaan, tetapi keadaannya masih belum dapat dipastikan.
Polis menerima panggilan kecemasan sekitar 4:25 petang waktu tempatan berhubung kejadian seorang lelaki menikam seorang wanita di bandar Nakano.
Pegawai polis yang bergegas ke tempat kejadian telah ditembak, lapor Kyodo News.
Suspek kali terakhir dilihat memakai topi, cermin mata hitam dan topeng, menurut laporan itu.
Penduduk di kawasan itu dinasihatkan untuk kekal berada di dalam rumah kerana suspek masih bebas.
--BERNAMA-XINHUA