Tiga maut di England dalam insiden tikam, polis sifatkan serangan pengganas

Agensi
Jun 21, 2020 21:50 MYT
Polis UK sahkan tiga maut, manakala tiga yang lain cedera parah dalam serangan tikaman rambang di Forbury Garden. - Reuters
Tiga orang disahkan terbunuh, manakala tiga yang lain cedera parah dalam serangan tikam secara rambang di sebuah taman di bandar Reading, England pada petang Sabtu.
Polis United Kingdom menyifatkan kejadian yang belaku di Forbury Gardens Park itu sebagai serangan pengganas.
Ketua Pegawai Anti Keganasan UK, Neil Basu memaklumkan, pihaknya akan mengambil alih tugasan polis bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Pada 20 Jun, tidak lama selepas jam 7 malam (waktu tempatan), seorang lelaki berlari ke Forbury Garden di pusat bandar Reading, dan menyerang orang awam menggunakan pisau.
"Dia menikam tiga orang sehingga maut dan beberapa yang lain memerlukan rawatan di hospital.
"Ini adalah satu kekejaman. Saya bersimpati atas keluarga mangsa yang terlibat dan kepada semua orang yang terkesan dengan tragedi itu," ujarnya.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis kerana disyaki membunuh.
Bagaimanapun, pihak polis tidak menemui sebarang petunjuk wujud pihak ketiga terlibat dalam serangan tersebut.
Dalam pada itu Perdana Menteri Boris Johnson dilaporkan berjumpa dengan pegawai keselamatan, polis dan menteri kanan pada pagi Ahad bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan siasatan yang dijalankan.
#England #forbury gardens park #London #reading #serangan pengganas #tikam
;