Tiga maut dalam tragedi Taufan Gabrielle di New Zealand
Astro Awani
Februari 15, 2023 10:30 MYT
Februari 15, 2023 10:30 MYT
WELLINGTON: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dalam tragedi Taufan Gabrielle yang melanda New Zealand sejak Ahad.
Kru kecemasan pada Rabu menemukan mayat dipercayai anggota bomba sukarela yang hilang sejak Ahad malam susulan tanah runtuh di komuniti pantai berhampiran bandar Auckland.
Dua lagi mangsa ditemukan di Hawke's Bay, sebuah wilayah di pantai timur Pulau Utara.
Pihak berkuasa menganggarkan lebih 10,000 orang telah kehilangan tempat tinggal setakat ini.
Pasukan penyelamat menggunakan helikopter bagi membantu penduduk yang terperangkap di atas bumbung ke lokasi selamat, manakala pesawat tentera digunakan untuk menghantar bekalan penting ke bandar terpencil.
Taufan Gabrielle melanda New Zealand pada Ahad sebelum membadai pantai timur Pulau Utara, menyebabkan jalan antara bandar terputus dan menenggelamkan kediaman.
Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins berkata Taufan Gabrielle yang melanda Pulau Utara itu sebagai fenomena cuaca yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
"Kerosakan dan kemusnahan yang kita lihat ini tidak pernah dialami dalam generasi ini.
"Kami masih memantau kesan taufan ketika ini. Tetapi apa yang kami tahu kesannya adalah ketara dan meluas," kata Hipkins pada Selasa.
Hipkins dalam pada itu berjanji akan menyalurkan bantuan sebanyak NZ$11.5 juta (kira-kira RM31.7 juta) bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat bencana itu.
Kira-kira satu pertiga daripada lima juta penduduk negara itu tinggal di kawasan terjejas.
Kerajaan Hipkins pada Selasa mengisytiharkan darurat, yang ketiga dalam sejarah New Zealand, akibat taufan tersebut.
Pada Rabu, taufan itu dilihat semakin lemah dan bergerak menjauhi Pulau Utara. Namun ia tidak menghalang orang ramai daripada terus berpindah.
Malah ada yang terpaksa berenang dari rumah mereka ke tempat selamat selepas sungai melimpahi tebing, manakala yang lain diselamatkan dari atas bumbung.
Taufan telah menyebabkan banyak pokok tumbang menghempap rumah, selain tanah runtuh yang menghayutkan mangsa dan menyekat laluan.
Kerosakan akibat ribut ini paling dahsyat dalam komuniti pantai di bahagian utara dan pantai timur Pulau Utara dengan kawasan seperti Teluk Hawke, Coromandel dan Northland antara yang paling teruk terjejas.
Komunikasi antara bandar di rantau ini terputus sepenuhnya selepas sungai melimpahi tebing.
Kira-kira 250,000 penduduk terpaksa bergelap tanpa bekalan elektrik.
Australia dan United Kingdom berjanji untuk menghantar bantuan selepas pihak berkuasa pertahanan awam di wilayah itu tidak dapat menampung kerosakan yang berlaku.