Tiga insiden letupan bom kereta menggegarkan sebuah pasar di Baghdad, Iraq pada Rabu, meragut lebih 86 nyawa sekaligus menjadikannya kejadian paling berdarah tahun ini.

Kejadian di kawasan pengikut Syiah yang didakwa didalangi kumpulan Daish, berlaku di tengah-tengah kerajaan berhadapan krisis politik yang dilihat bakal membantutkan usaha menangani kumpulan pelampau.

Kejadian paling buruk berlaku di bandar Sadr ke utara Baghdad yang meragut 64 nyawa dan mencederakan 82 yang lain, kata pegawai kerajaan.

Ia menyebabkan barisan kedai diselubungi api dan serpihan akibat letupan melayang dan bertaburan.

Satu lagi kejadian bom kereta berlaku di kejiranan Kadhimiya di barat laut Baghdad, meragut 14 nyawa.

Antara yang terkorban adalah anggota pasukan keselamatan.

Di daerah Jamea pula, lapan maut dan 21 cedera, juga dalam insiden letupan bom kereta, lapor pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Sejurus kemudian kumpulan Daish mengeluarkan kenyataan mengaku bertanggungjawab.