Tiga kanak-kanak antara 6 maut ditikam dalam serangan di tadika China

Astro Awani
Julai 10, 2023 13:00 MYT
Mangsa termasuk seorang guru, dua ibu bapa dan tiga pelajar dalam serangan yang dilapor berlaku jam 7.40 pagi waktu tempatan pada Isnin. -Foto media sosial
GUANGDONG: Enam mangsa terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam kejadian serangan pisau di sebuah tadika di wilayah Guangdong, tenggara China.
Mangsa termasuk seorang guru, dua ibu bapa dan tiga pelajar dalam serangan yang dilapor berlaku jam 7.40 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Suspek, seorang lelaki berusia 25 tahun dengan nama keluarga Wu, berjaya ditahan pada jam 8 pagi.
Polis setakat ini telah mengklasifikasikan kes sebagai "serangan dengan sengaja".
Jenayah keganasan agak jarang berlaku di China, namun negara itu telah menyaksikan beberapa insiden serangan pisau dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk di beberapa buah sekolah.
Pada Ogos tahun lalu, seorang penyerang bersenjatakan pisau menyerbu sebuah tadika di wilayah Jiangxi tenggara, membunuh tiga orang dan mencederakan enam yang lain.
Pada April 2021, dua kanak-kanak maut manakala 16 yang lain cedera ditikam di Bandar Beiliu, di wilayah autonomi Guangxi Zhuang.
Pada Oktober 2018, 14 kanak-kanak cedera dalam serangan pisau di sebuah tadika di Chongqing, barat daya China.
#China #Kanak-kanak #Guangdong #serangan pisau di sebuah tadika
;